Advertisements
Buletin

GWM ORA 7 BAHARU HADIR DALAM VERSI SHOOTING BRAKE – JANA 416HP, JARAK GERAK 630KM

Great Wall Motor (GWM) bakal memperkenalkan model elektrik terbaharunya, Ora 7, pada November ini dengan menawarkan dua pilihan rekaan badan iaitu shooting brake dan fastback.

Model dalam segmen sederhana itu merupakan produk serba baharu yang dibangunkan mengikut identiti reka bentuk keluarga Ora.

Kedua-dua versi menampilkan bahagian hadapan dengan gril tertutup serta lampu utama berbentuk bulat, manakala reka bentuk lampu belakang turut mengambil inspirasi daripada elemen di bahagian hadapan.

Dari segi dimensi, Ora 7 mempunyai panjang 4,820mm, lebar 1,870mm dan tinggi 1,520mm, selain jarak roda 2,870mm. Kedua-dua versi berkongsi reka bentuk kabin yang sama dengan susun atur berorientasikan pemandu dan penumpang.

Ruang dalaman dilengkapi stereng pelbagai fungsi tiga jejari, paparan instrumen digital sepenuhnya serta skrin infotainmen bersaiz besar yang dipasang secara terapung di bahagian tengah papan pemuka.

Konsol tengah berbentuk T pula menempatkan pengecas telefon tanpa wayar dan dua ruang pemegang cawan.

Bagi aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu bergantung kepada varian yang ditawarkan, termasuk pilihan sistem berasaskan kamera sahaja atau sistem lebih canggih yang turut dilengkapi sensor LiDAR.

KUASA 416 HP, JARAK GERAK SEHINGGA 630 KM

Setakat ini, hanya versi shooting brake telah didaftarkan dalam senarai Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China (MIIT).

Model berkenaan menggunakan konfigurasi dua motor elektrik dengan motor hadapan menghasilkan kuasa 160kW (215hp), manakala motor belakang menawarkan 150kW (201hp).

Gabungan kedua-dua motor itu menghasilkan kuasa keseluruhan 310kW (416hp).

Berdasarkan dokumen berkaitan, Ora 7 akan ditawarkan dengan dua pilihan kapasiti bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran Svolt iaitu 58.3kWh dan 68.9kWh.

Jarak pemanduan berdasarkan kitaran ujian CLTC pula disenaraikan antara 535km, 560km dan sehingga 630km, bergantung kepada konfigurasi yang ditawarkan.

Sebagai perbandingan, angka tersebut bersamaan anggaran jarak sekitar 433km hingga 510km mengikut piawaian WLTP.

Untuk rekod, GWM sebelum ini pernah membawa model Ora Lightning Cat ke pasaran Thailand pada 2023 menggunakan nama Ora 07.

Justeru, Ora 7 generasi terbaharu ini boleh dianggap sebagai penerus kepada model berkenaan, dengan pilihan badan yang lebih pelbagai serta peningkatan dari segi teknologi dan sistem trenkuasa elektrik.

Google ads
Back to top button