Advertisements
Buletin

JETOUR R700 DEBUT 27 NOVEMBER, KONGSI PLATFORM DENGAN G700, JANA KUASA 892HP

Chery menerusi jenama Jetour bakal memperkenalkan SUV lasak terbaharunya, Jetour R700 secara rasmi pada Guangzhou Auto Show 2026 yang dijadualkan membuka tirai pada 27 November ini.

Model di bawah siri Zongheng itu dilaporkan menggunakan platform ladder-frame yang sama dengan Jetour G700, sekali gus memberi gambaran mengenai keupayaan off-road yang bakal ditawarkan.

Dari segi reka bentuk, R700 tampil dengan imej berkotak dan tegap, mengambil inspirasi daripada model konsep Jetour Zongheng G600 yang diperkenalkan tahun lalu.

Bahagian hadapannya menampilkan bonet tinggi, gril tertutup serta lampu utama berbentuk C yang dihubungkan jalur LED melintang.

Penampilan sisi pula diserlahkan menerusi rel bumbung, pemijak kaki tetap dan rekaan bumbung terapung.

Menariknya, Jetour menggantikan tayar simpanan yang lazimnya dipasang pada pintu belakang SUV lasak dengan sebuah kotak penyimpanan luaran berbentuk oktagon. Ia turut dipadankan dengan lampu belakang menegak.

Bagi ruang kabin, R700 dijangka menawarkan konfigurasi lima tempat duduk tanpa barisan ketiga bagi memberikan ruang kaki dan kapasiti bagasi lebih luas. Bagaimanapun, spesifikasi dalaman masih belum disahkan.

Sebagai perbandingan, Jetour G700 menggunakan sistem hibrid plug-in (PHEV) Kunpeng Super Hybrid CDM-O yang menggabungkan enjin 2.0 liter turbo dengan motor elektrik.

Gabungan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 665kW (892hp) dan tork 1,135Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 4.6 saat.

G700 turut dilengkapi bateri CATL berkapasiti 59.45kWh dengan jarak pemanduan elektrik melebihi 260km berdasarkan piawaian CLTC.

Antara kelengkapan off-road model berkenaan termasuk kunci pembeza hadapan dan belakang, pelbagai mod permukaan jalan serta sistem suspensi udara.

Bagaimanapun, Chery masih belum mengesahkan sama ada R700 akan menerima rangkaian kuasa dan teknologi yang serupa.

Di China, Jetour G700 ditawarkan pada harga antara 329,900 hingga 442,900 yuan (kira-kira RM195,000 hingga RM262,000), sekali gus meletakkannya dalam segmen SUV lasak premium yang turut dihuni BYD Fang Cheng Bao Bao 8 dan GWM Tank 700 Hi4-T.

Harga serta spesifikasi penuh Jetour R700 dijangka diumumkan ketika penampilan rasminya di Guangzhou hujung bulan ini.

Google ads
Back to top button