Advertisements
Buletin

HYUNDAI NEIRA BAKAL DILANCARKAN DI INDONESIA, SUV ELEKTRIK TUJUH TEMPAT DUDUK

Hyundai bakal memperkenalkan sebuah model SUV elektrik baharu dikenali sebagai Hyundai Neira untuk pasaran Indonesia, dengan pelancaran dijangka berlangsung pada November ini.

Model berkenaan terlebih dahulu diperlihatkan dalam bentuk prototaip menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2026 sebelum Hyundai mengesahkan perancangannya untuk membawa kenderaan itu ke pasaran tempatan.

Nama Neira diinspirasikan daripada Banda Neira, sebuah destinasi di Indonesia yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Pemilihan nama tersebut turut mencerminkan usaha Hyundai menghasilkan produk yang mempunyai kaitan dengan identiti dan karakter masyarakat Indonesia.

Dari segi konsep, Hyundai Neira dibangunkan sebagai SUV elektrik dengan kapasiti sehingga tujuh penumpang. Ia menyasarkan pengguna keluarga yang memerlukan ruang kabin lebih luas, keselesaan untuk perjalanan bersama serta sokongan teknologi moden.

Menariknya, model berkenaan juga dirancang untuk dipasang secara tempatan di fasiliti Hyundai Motor Manufacturing Indonesia (HMMI), sekali gus memperkukuh komitmen syarikat itu terhadap industri automotif negara berkenaan.

Hyundai Neira dijangka mula dibuka untuk tempahan awal atau pre-booking ketika penganjuran Gaikindo Jakarta Auto Week (GJAW) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 29 November ini.

Bagaimanapun, Hyundai masih belum mendedahkan maklumat terperinci mengenai spesifikasi teknikal model berkenaan, termasuk kapasiti bateri, jarak perjalanan bagi sekali cas, prestasi motor elektrik serta ciri kelengkapan yang bakal ditawarkan.

Ketua Pegawai Operasi PT Hyundai Motors Indonesia, Fransiscus Soerjopratomo berkata, pengenalan Neira merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan elektrik di Indonesia.

Menurutnya, pengalaman Hyundai sebagai antara perintis pembangunan kenderaan elektrik di Indonesia sejak 2020 menjadi asas kepada penghasilan model yang lebih menepati keperluan pengguna tempatan.

Beliau turut menjelaskan bahawa Hyundai akan terus memperluaskan rangkaian serta kehadirannya menerusi pelbagai platform dan acara automotif bagi mendekatkan jenama itu dengan pelanggan.

Google ads
Back to top button