Advertisements
Buletin

SUZUKI SPACIA BAHARU DIPERKENAL TAK LAMA LAGI, TAMPIL DENGAN KONSEP MINI CAMPERVAN

Suzuki bakal memperkenalkan model baharu berasaskan Spacia pada musim sejuk 2026 dengan beberapa penambahbaikan yang menjadikannya lebih praktikal, khususnya untuk pengguna gemar aktiviti perkhemahan dan perjalanan jarak jauh.

Walaupun masih menggunakan asas model generasi terdahulu, kenderaan ini menerima perubahan ketara dari segi penampilan dan fungsi.

Bahagian hadapan kini menggunakan reka bentuk yang diinspirasikan daripada Spacia Gear, berbanding Spacia Custom pada model sebelumnya.

Perbezaan turut dilihat pada penggunaan gril hitam, bampar hadapan dan belakang berwarna kelabu gelap serta rim hitam yang memberikan imej lebih lasak.

Antara ciri utama yang diberi perhatian ialah sistem multi-board yang menawarkan pelbagai konfigurasi mengikut keperluan pengguna.

Komponen ini boleh dijadikan permukaan tidur rata untuk aktiviti perkhemahan, meja sisi atau ruang kerja ketika melakukan perjalanan.

Seperti model terdahulu, ruang tingkap sisi belakang tidak disediakan dan kawasan berkenaan dimanfaatkan sebagai ruang penyimpanan tambahan bagi meningkatkan aspek praktikaliti kabin.

Dari segi keselamatan, model baharu ini dijangka dilengkapi ciri bantuan pemanduan seperti sistem brek mitigasi pelanggaran, kawalan jelajah adaptif (ACC) dan brek parkir elektronik, seiring kelengkapan pada Spacia standard.

Menariknya, model ini mengekalkan konfigurasi tempat duduk penumpang seperti kereta penumpang biasa, sekali gus memberikan kelebihan dari segi keselesaan penggunaan harian berbanding Honda N-VAN yang menggunakan tempat duduk penumpang hadapan lebih ringkas.

Dengan gabungan ruang kabin fleksibel, ciri penyimpanan dan konsep mini campervan, model baharu Suzuki Spacia ini berpotensi menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mahukan kenderaan kompak untuk kegunaan harian serta aktiviti luar.

Google ads
Back to top button