
ZEEKR 009 BAHARU TAMPIL DENGAN PENAMBAHBAIKAN TEKNOLOGI, KESELESAAN DAN KESELAMATAN
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) memberikan peluang eksklusif kepada wakil media tempatan untuk melihat dengan lebih dekat model terbaharu Zeekr 009 sebelum pelancaran rasminya di Malaysia.
Model MPV elektrik mewah itu menerima beberapa penambahbaikan melibatkan aspek keselamatan, keselesaan penumpang, teknologi pintar serta kejuruteraan bagi menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih premium.
Sesi pratonton tersebut berlangsung menerusi program khas media bertemakan The Intelligence of Excellence: An Exclusive Journey into Zeekr Innovation di Hangzhou, China.
Selain memperkenalkan model terbaharu berkenaan, program itu turut memberi pendedahan kepada media mengenai proses pembangunan kenderaan, tahap ketelitian pembuatan, ujian keselamatan serta piawaian kawalan kualiti yang diamalkan oleh Zeekr.
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada Disember 2024, Zeekr telah menyerahkan lebih 6,000 unit kenderaan kepada pelanggan di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kenderaan elektrik (EV) premium tempatan.

Bagi model Zeekr 009 baharu, pengeluar itu memberi penekanan kepada tiga elemen utama iaitu penampilan mewah, teknologi pintar dan perlindungan menyeluruh.
Dari segi ruang kabin, model berkenaan mengekalkan konsep tempat duduk diinspirasikan daripada reka bentuk Eames, namun kini dilengkapi tempat duduk Zero Gravity yang dipertingkatkan.
Penambahbaikan itu merangkumi kedudukan sandaran yang lebih optimum serta pengagihan berat badan lebih seimbang untuk meningkatkan keselesaan penumpang, khususnya ketika perjalanan jauh.
Ia turut dilengkapi fungsi urutan 22 titik dengan ciri Hot Stone Massage bagi memberikan pengalaman lebih santai sepanjang perjalanan.
Tempat duduk barisan kedua juga mempunyai fungsi putaran yang membolehkan penumpang berhadapan antara satu sama lain ketika kenderaan berhenti. Ciri berkenaan sesuai untuk perbincangan perniagaan atau interaksi bersama ahli keluarga.
Kemudahan lain termasuk meja eksekutif boleh lipat dan fungsi persidangan video yang membolehkan ruang kabin dimanfaatkan untuk urusan kerja.
Sistem audio premium Naim dengan 31 pembesar suara pula melengkapkan pengalaman hiburan dalam kabin menerusi penghasilan bunyi yang lebih menyeluruh.

Dari aspek pemanduan, Zeekr 009 baharu menerima sistem suspensi udara dua ruang yang dinaik taraf, digabungkan dengan Continuous Damping Control (CCD) dan sistem Magic Carpet.
Gabungan teknologi itu membolehkan suspensi menyesuaikan tindak balas mengikut keadaan permukaan jalan bagi meningkatkan kestabilan serta keselesaan perjalanan.
Model terbaharu itu turut menerima peningkatan kuasa untuk memberikan pecutan lebih bertenaga dan tindak balas lebih pantas.
Sistem elektrik berasaskan seni bina 800V dikekalkan bagi menyokong keupayaan pengecasan pantas DC, sekali gus membantu mengurangkan tempoh pengecasan ketika melakukan perjalanan jauh.
Dari sudut keselamatan pula, Zeekr memperkenalkan sistem bantuan pemanduan pintar H7 yang disokong teknologi LiDAR.
Sistem berkenaan membantu kenderaan mengesan persekitaran dengan lebih menyeluruh serta mengenal pasti keadaan jalan dan trafik bagi memberikan sokongan tambahan kepada pemandu.
Aspek perlindungan turut mengambil kira keselamatan penumpang di setiap barisan tempat duduk, termasuk barisan ketiga.
Pendekatan itu memperlihatkan tumpuan Zeekr bukan sahaja terhadap kemewahan dan keselesaan pemanduan, malah memastikan setiap penumpang mendapat perhatian dari segi keselamatan sepanjang perjalanan.
Secara keseluruhan, penambahbaikan pada Zeekr 009 baharu merangkumi pengalaman kabin lebih eksklusif, teknologi pemanduan pintar serta keupayaan prestasi yang dipertingkatkan, menjadikannya antara model yang bakal diberi perhatian dalam segmen MPV elektrik mewah di Malaysia.



