BuletinMotosikal

“HAFIZH SYAHRIN BERAKSI MELEBIHI HADNYA,” BOS KTM TECH3

Hafizh Syahrin akan kembali ke pusingan MotoGP di Britain hujung minggu ini. Beliau disahkan pulih sepenuhnya dari kecederaan siku yang dialaminya ketika pusingan di Austria dua minggu lalu.

Ia adalah saat yang kritikal bagi Hafizh yang masih lagi belum jelas tentang masa hadapan beliau di mana tempatnya bakal digantikan dengan Brad Binder tahun depan. Beliau juga menerima tawaran dari beberapa pasukan Moto2 namun belum membuat sebarang keputusan lagi.

Selepas pusingan di Austria, bos pasukan Tech 3, Herve Poncharal mengakui risau dengan aksi kemalangan Hafizh “Sejak kembalinya dari cuti rehat musim panas, Hafizh nampak gementar dan dia mungkin telah beraksi melebihi had yang beliau mampu… Saya fikir, kami perlu duduk dan berbincang mengenainya, apa yang lebih penting ialah berlumba dengan selamat dan habiskan perlumbaan.”

Hafizh berazam untuk kembali menebus kesilapannya di litar Silverstone minggu ini.

“Selepas kemalangan di Austria, saya tiba di UK dan lebih bersedia secara fizikal,” ujar pelumba muda itu.

“Tak lama lagi, jahitan luka ini akan dibuka dan saya juga dah berlatih di rumah untuk kembali cergas sepenuhnya pada pusingan minggu ini.

“Sejak kembali dari musim cuto panas, saya belum menamatkan perlumbaan lagi.  Saya harap pusingan kali ini peluangnya lebih cerah dan saya harap dapat melakukan yang terbaik di Silverstone.”

Ketika Hafizh hanya beroleh tiga mata dalam musim ini, rakan sepasukannya Miguel Oliveira mendapat keputusan bagus di Austria dengan menghabiskan perlumbaan di tempat ke-8, mengutip 26 mata.

“Selepas minggu yang bagus di Austria, saya akan terus berkerja rapat dengan pasukan, untuk sasaran 10 terbaik,” ujar Oliveira.

“Sekarang kami berada di kedudukan terbaik dan bermotivasi untuk terus berjuang.”

“Silverstone sentiasa jadi pusingan yang menarik, terutamanya berkenaan cuaca. Ia sentiasa dingin dan kondisi yang sukar diduga.

“Litar itu sendiri sangat mencabar. Ia panjang dengan selekoh laju dan titik membrek yang sukar. Jadi ia adalah gabungan semuanya dalam satu litar”

Untuk rekod, pusingan di litar Silverstone tahun lalu dibatalkan atas sebab cuaca buruk dan air yang bertakung di litar.
Google ads
Back to top button