SELEPAS 3 TAHUN, KERAJAAN PNG JUAL MASERATI HARGA MURAH. RM476K SAHAJA
Sejumlah Maserati Quattroporte yang dibeli oleh kerajaan Papua New Guinea telah dijual pada potongan harga yang banyak.
40 unit jentera mewah buatan Itali itu dikatakan diimport untuk mengangkut pemimpin kanan kerajaan yang menghadiri persidangan APEC tahun 2018.
Setiap Maserati Quattroporte tersebut berharga sekitar AS$142,000 (RM593,500) seunit dan jumlah keseluruhan mencecah kos AS$5.7 juta (RM23.8 juta). Sedangkan, Papua New Guinea (PNG) merupakan salah satu negara termiskin dalam keanggotaan APEC dengan 40 peratus rakyatnya mempunyai pendapatan kurang AS$1 (RM4.18) sehari.
Namun, ini bukanlah satu-satunya perbelanjaan besar yang dibuat oleh kerajaan dan menimbulkan persoalan. Pemilihan kereta itu juga membuatkan ramai tertanya-tanya kerana Maserati tidak pernah dijual di pulau tersebut.
Maserati berkenaan dikatakan dibeli dari sebuah pengedar di Sri Lanka dan diterbangkan ke PNG menggunakan sebuah jet Jumbo. Selain Maserati, tiga unit Bentley Flying Spurs turut dibeli.
Pada tahun 2015, BMW telah menaja lebih 200 unit kenderaan untuk persidangan sama di Filipina. Kereta itu kemudian dijual kepada orang awam. Namun, memandangkan tiada pengedar Maserati di PNG, jualan kepada orang awam dilihat sukar.
Ketika itu, barisan Menteri mendakwa kereta-kereta itu akan laku seperti pisang goreng panas. Tetapi, selepas tiga tahun hanya dua unit berjaya dijual.
Selepas setahun persidangan itu, timbul kebimbangan kerajaan menghilangkan kereta tersebut. Jadi, Perdana Menteri PNG, John Pundari menunjukkan semua 40 unit Maserati berkenaan masih disimpan dengan baik.
Tetapi, lebih 300 unit kereta yang diimport seperti Toyota Land Cruiser, Ford, Mazda dan Mitsubishi Pajero dilaporkan ‘hilang’.
“Kalau kami tahu, kami tidak akan membeli Maserati ini. Kami telah membuat satu kesilapan besar. Jika tiada pengedar di PNG, tiada sebab untuk sesiapa pun membeli Maserati, kata Pundari.
Jadi, untuk menarik minat pembeli, jentera itu kini ditawarkan pada harga cuma AS$114,000 (RM476,500) seunit.