Artikel Pilihan

KERETA-KERETA AMERIKA YANG TELAH MENGGEGAR DUNIA

Warga Amerika memang sangat sukakan kereta dan mereka telah menghasilkan beberapa model yang hebat dan banyak mempengaruhi lanskap automotif dunia. Bukan terhad kepada kereta sahaja tetapi teknologi itu sendiri yang digabungkan bersama dengannya. Bukan tidak ada negara lain yang memberi impak besar tetapi keunikan warga Amerika khususnya kegilaan mereka kepada enjin berkapasiti besar memang banyak mengubah dunia.

Bukan itu sahaja, mereka juga cukup taksub dengan jentera pacuan empat roda sehingga terhasilnya kenderaan yang menggantikan fungsi kuda dalam peperangan. Mari kita tengok 10 kenderaan yang cukup berpengaruh dan memberikan impak kepada dunia automotif global.

 

Hennessey Venom GT

Kita mula dengan sebuah kereta yang cukup gila. Hennessey Venom GT ini mungkin kelihatan seperti sebuah Lotus Elise yang dipanjangkan tetapi selain daripada rupa luarannya, kebanyakan komponen lain ialah buatan Amerika termasuklah enjin GM LS9 twin-turbo 7.0-liter V8. Secara keseluruhan ia mampu megnhasilkan 1,400 hp kuasa dan 1,560 Nm tork!

Jentera keluaran Hennessey yang berpangkalan di Texas ini memang cukup gah dengan rekod pecutan 0-270 km/j hanya dalam masa 13.63 saat. Ia merupakan rekod dunia untuk pecutan dan diakui oleh Guinness. Bugatti pun ternganga bang.

BACA: 5 KERETA PORSCHE TERMAHAL YANG PERNAH DIJUAL (+VIDEO)

Cadillac Eldorado

Cadillac Eldorado generasi ketiga diperkenalkan pada penghujung tahun 50-an dan mengubah rekaan automotif sepenuhnya. Ia banyak mengambil pengaruh rekaan perlumbaan ke angkasa lepas yang begitu hangat ketika itu.

Tengok saja rekaannya yang kompleks dengan sirip-sirip dan kemasan krom. Ia menjadi model klasik dengan serta merta dan mempunyai panjang keseluruhan 18 kaki. Untuk menggerakkan model sebesar kapal layar kecil ini ia dilengkapkan dengan enjin 6.4-liter V8 325hp dan dipadankan dengan kotak gear automatik 4-kelajuan.

Ford Model 18

Mesti anda tertanya-tanya kenapa Ford Model 18 dan bukannya Ford Model T? Jawapannya mudah saja. Ini kerana Ford Model 18 merupakan kereta keluaran Amerika dengan enjin V8 pertama dikeluarkan secara besar-besaran. Ia sesuatu yang cool ketika itu walaupun kalau zaman ini V8 dah biasa sangat.

Enjin 3.6-liter mampu menghasilkan 65 hp kuasa maksima. Err, kira okeylah tu sebab ia dikeluarkan pada tahun 1932. 86 tahun dulu punya cerita ni bang.

Ford GT40

Kalau tak kenal elok baca majalah wanita je lah. Senang cerita ia wujud sebab Ford telah dimalukan oleh Enzo Ferrari dalam satu urusan jual beli yang dibatalkan pada saat akhir oleh Ferrari. Pembalasan hanya boleh dilakukan dengan mengalahkan Ferrari dalam gelanggang yang dikuasai mereka: Perlumbaan Le Mans 24-jam.

Dengan bantuan Carroll Shelby, GT40 dihasilkan dengan enjin 7.0-liter V8. Ia memenangi perlumbaan Le Mans pertama dalam tahun 1966 dan kemudian memenangi empat kejuaraan tempat pertama Le Mans dalam tahun 1969. Tak terkejar kau Ferrari.

Duesenberg Model J

Kehidupan di Amerika pada tahun 1929 agak genting keran kejatuhan pasaran saham akibat Great Depression yang membawa kesan sehingga 1941. Pembangunan kereta model baru juga ditangguhkan. Tapi kesempatan itu diambil oleh Duesenberg untuk melancarkan model yang diharapkan akan menjadi menjadi kereta paling mewah dan berkuasa di dunia, Model J.

Ia menggunakan enjin 7.0-liter sebaris 8 dan menjadi kereta termahal dan paling laju di dunia. Ketika itu ia dipasarkan dengan harga USD13,000 bersamaan dengan RM835,000 hari ini. Tujuannya hanya satu iaitu untuk menyaingi Rolls-Royce yang menjadi kebanggaan Eropah.

Willys MB

Inilah nenek moyang semua SUV moden, Willys MB, Jeep asal yang dihasilkan di Toledo, Ohio. Model Wrangler terbaru masih dipasang di sini. Ia dihasilkan bila pihak tentera Amerika mahukan kenderaan khusus untuk menggantikan fungsi kuda dan kereta sedan biasa memang tidak sesuai. Ia mestilah ringan, murah dan boleh dihasilkan secara besar-besaran selain mampu beroperasi dalam semua bentuk muka bumi.

Willys MB pertama dikeluarkan pada tahun 1941 dengan enjin 2.2-liter 49 hp. Jeep asal ini terus menjadi ikon malah ia turut mengkagumkan pihak Soviet, Jerman dan Jepun sehingga mereka menghasilkan versi mereka sendiri.

Chevrolet Corvette

Mana boleh cerita pasal kereta Amerika tanpa Corvette. Kereta sport Amerika ini dihasilkan dengan formula mudah,enjin di depan, pacuan belakang, dua tempat duduk dan enjin V8. Tapi perubahan berlaku dengan generasi kelapan Corvette (C8) bila ia menggunakan ciri enjin di tengah (mid-engine).

Tapi Corvette sebenarnya sudahpun terkenal sejak dari C1 diperkenalkan. Kini Corvette paling berkuasa boleh didapati ialah ZR1 dengan 755 bhp.

Ford Mustang

Sama seperti Corvette, Mustang ialah satu lagi ikon di Amerika. Ia dilancarkan pada pertengahan tahun 1964 dan berbeza dari Corvette, ia mempunyai tempat duduk belakang walaupun sangat kecil dan sempit sampai sekarang.

Ia menjadi lebih garang dengan sentuhan Carrol Shelby dan kini sudahpun memasuki generasi keenam.

Tesla Model S

Ramai menyatakan yang projek kereta elektrik sesuatu yang mustahil tetapi Elon Musk melihatnya dari perspektif yang berbeza. Tesla Model S dilancarkan pada tahun 2012 dan segera menjadi sensasi dunia automotif. Ia bukan hanya bergaya (tidak seperti kereta elektrik lain yang macam ikan kekek pun ada). Ia juga menjadi bukti yang kereta elektrik juga boleh berfungsi sebaik model enjin pembakaran dalaman biasa.

Dengan pek bateri yang berkuasa, Model S juga telah menghapuskan kebimbangan ramai tentang jarak operasi kereta elektrik. Sehingga tahun ini jualan Model S di seluruh dunia telah mencapai jumlah 250,000. Cukup menkagumkan untuk sebuah kereta dengan teknologi baru.

Ford Model T

Okey ini model paling berpengaruh dalam abad ke 20. Ia dilancarkan pada tahun 1908 dan kekal dalam pasaran sehingga 1927. Bukan hanya ia kereta pertama dihasilkan secara besar-besaran, ia juga mampu milik kerana sistem produksi Ford yang revolusionari.

Ia merupakan simbol kemodenan dan menunjukkan yang Amerika sedang mendahului dunia dalam dunia automotif. Secara keseluruhan 16.5 juta unit Model T telah dijual di seluruh  dunia.

Google ads
Back to top button