
HONDA ACCORD EURO R – SEBUAH MODEL SEDAN EKSEKUTIF OTAI YANG MASIH LAGI LAJU DAN LAJU
Barangkali Honda telah lama menyedari masalah yang sering dialami oleh seorang bos – bos yang mana jiwa kelajuan dan sporty masih cukup menebal walau pun usianya telah mula menginjak ke angka yang bukan boleh lagi digelar seorang pemuda. Seorang penua juga tidak layak gayanya.
Nak pakai Honda Accord untuk ke pejabat di kala itu kelihatan seperti seorang Guru Penolong Kanan pula sedangkan Kad Perniagaan jelas tertera anda adalah seorang Pengurus Pemasaran yang kacak dan bergaya. Maka mungkin Honda Accord Euro R ini adalah jawapan yang cukup ideal untuk anda di kala itu.

Terima kasih kepada Honda yang telah melahirkan sebuah model salon eksklusif tetapi sebenarnya cukup laju, Honda Accord Euro R CL7 yang mula dikeluarkan diantara tahun 2003 hingga ke tahun 2008.
Sedikti sejarah untuk diungkap, ketika itu Honda bertindak berani apabila memperkenalkan generasi ketujuh Honda Accord dengan dua model yang cukup berbeza khusus untuk model ini bermula daripada generasi kelima. Dan sudah tentu model yang laju ini dijelmakan daripada Honda Accord khusus untuk pasaran Eropah yang mempunyai reka bentuk lebih eksklusif berbanding Honda Accord untuk pasaran Asia Pasifik dengan rupa yang sporty tapi tak sporty mana pun.

Bagi memastikan pemiliknya tiba ke pejabat dengan lebih cepat, Honda memutuskan untuk menyumbat enjin lagenda mereka, K20A VTEC yang mampu menghasikan kuasa sehingga 220 HP dan 206 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.
Enjin K20A yang digunakan ini sememangnya tidak perlu diragui kehandalannya apatah lagi enjin ini turut disumbat pada model Civic Type R dan juga Integra Type R. Bukannya setakat kelajuan, kesedapan pemandu juga diberikan perhatian dengan sistem suspensi yang telah dipertingkatkan.

Sama seperti model Type R, Honda Accord Euro R ini turut dilengkapi dengan tempat duduk bucket Recaro untuk tampil sebagai sebuah model sporty eksekutif.
Dan tahukah anda bahawa model yang dahulunya mahal untuk dibeli sebenarnya masih lagi mahal untuk dibeli pada tahun 2025 sekarang ini? Nak jumpa aras harga tujuh puluh ribu usah bermimpilah. Kalau jumpa sahih dah kena kerat. Harga di Mudah setakat sekitar RM100,000 oi! Tunai sahaja pula tu.
BACA : KIT HONDA ACCESS TOURING LINE DAN SPORTS LINE UNTUK ACCORD GENERASI KE-11
BACA : HONDA ACCORD BERUSIA 30 TAHUN MACAM BARU KELUAR KILANG – INI CARA JAGA KERETA DIK



