
HONDA ACCORD BERUSIA 30 TAHUN MACAM BARU KELUAR KILANG – INI CARA JAGA KERETA DIK
Kereta-kereta Honda tahun 90-an memang diyakini dengan ketahanan dan boleh diharap dan satu daripadanya ialah Honda Accord. Macam mana kami tahu? Mestilah abang pernah dik. Model flagship lagi kau; Honda Accord 2.0 SiT recond dari Jepun. Kali ni kita tengok Accord SE yang dikongsikan oleh seorang Youtuber Tyson Hugie milik seorang lelaki yang dikenali dengan nama Hy.

Serius kami pun tak pernah tengok kereta Accord berusia 30 taun secantik ni. Macam baru keluar showroom semalam je. Nak kata simpan dalam rumah pun mustahil sebab perbatuannya dah mencecah 132,000 batu perjalanan (kereta AS mestilah batu, lebih kurang 212,433 kilometer).
Kami pun tak pasti jika kereta ini sudah menjalani proses restorasi ataupun belum tapi ia memang sentiasa dibawa ke spa kereta ni nampak gayanya sebab terlalu bersih.

Untuk pasaran Malaysia, Accord CB3 ini dipasarkan dalam versi EX dan Exi. Ada yang menggunakan karburator dan ada yang menggunakan sistem PGM F1 Honda. Ia merupakan antara Honda Accord paling selesa dan mempunyai rekaan sedan yang paling menarik lagi elegan. Alah yang abah-abah korang panggil Honda berlian ni la bendanya.
Berbeza sikit dengan pasaran Malaysia yang cuma ditawarkan dengan enjin 2.0 liter, Accord SE AS ini mempunyai enjin 2.2 liter SOHC. Tapi jangan ingat tak best, tengok part dia pecut dalam video tu memang lunak je bunyinya. VTEC? Mana ada lagi untuk model ni dik.
Kalau rasa nak simpan lama apa-apa pun kereta pun, inilah contoh yang harus diikuti. Harga pun boleh la up lebih sikit. Ini kereta dengan cat berkerapu, lampu kuning macam gigi tak pernah gosok, tempat duduk penuh kuah kari kering pun nak demand harga kaw-kaw. Itu tak termasuk rekod servis. Siap ada diari khusus kau. Abang pun takleh lawan.









