Motosikal

BOON SIEW HONDA PERKENAL CBR500R, CB500F & CB500X – HARGA BERMULA RM34K

Boon Siew Honda hari ini melancarkan tiga model middleweight iaitu Honda CBR500R, CB500F dan CB500X di Malaysia.

Sejak diperkenalkan ke pasaran antarabangsa sejak tahun 2013, ketiga-tiga model ini telah berjaya menarik minat orang ramai untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi.

Model facelift ini menerima beberapa bentuk penambahbaikan. Antaranya ialah sistem brek anti kunci (ABS), suspensi belakang baharu, klac assist/slipper dan lampu LED sepenuhnya.

Tidak ketinggalan, panel instrumem LCD yang memaparkan maklumat seperti kedudukan gear serta indikasi menukar gear yang telah ditetapkan pada 8,750rpm.

Honda CBR500R, CB500F dan CB500X dikuasakan oleh enjin parallel-twin yang mampu menjana kuasa 50hp pada 8,500rpm dan tork 45Nm.

Dibangunkan di atas kerangka jenis besi diamond-tube, jentera itu menjanjikan tunggangan yang lincah, kurang gegaran dan agihan berat seimbang.

Honda CBR500R

Model dengan fairing penuh itu tampil dengan rekaan sporty bersama garis-garis tajam. Penampilannya diserlahkan lagi dengan lampu utama LED berkembar yang diinspirasikan daripada model Fireblade.

Bar hendal juga sedikit rendah untuk memberikan posisi tunggangan yang lebih aerodinamik.

Kejuruteraan dalaman enjin dikatakan meniru model lebih besar iaitu CBR1000RR untuk menjanjikan bunyi lebih sedap.

Manakala inlet, ekzos dan injap pemasaan telah disemak semula untuk memberikan lebih kuasa pada julat pertengahan rpm enjin.

Penunggang juga pasti seronok apabila menggunakan assist/slipper clutch ketika menukar gear.

Jentera itu didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, kelabu metalik dam putih mutiara. Anda boleh memiliki sebuah CBR500R pada harga RM34,499 seunit (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran).

Honda CB500F

Model sport roadster ini hadir dengan rekaan badan yang agresif. Gayaan itu disempurnakan dengan bunyi enjin yang sporty menerusi peredam ekzos berkembar.

Untuk memberi maklum balas yang mantap, CB500F dilengkapi bar hendal yang lebih keras, selain penyerap hentak tiub tunggal untuk roda belakang.

Rekaan naked itu jelas menyerlahkan bentuk enjin yang terletak kemas di dalam kerangka. Bagi memberikan aliran udara yang lebih lancar, bateri telah diposisikan sedikit jauh daripada kotak corong pengambilan udara.    

CB500F yang ditawarkan pada harga RM33,99 seunit itu didatangkan dalam tiga warna iaitu merah, hitam metalik dan putih mutiara.

Honda CB500X

Motosikal adventure ini sememangnya terkenal kerana sifatnya yang mesra pengguna, jimat bahan api dan tahan lasak. Untuk model 2019, CB500X tampil dengan gayaan kembara yang lebih berkuasa.

Sebagai sebuah jentera yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja, motosikal ini menggunakan suspensi lebih panjang. Di samping rim aluminium ringan di hadapan bersaiz 19 inci dengan rekaan baru.

Aspek aerodinamik ditambah baik apabila tekanan aliran udara di bahagian fairing dan skrin dikurangkan. Pada masa yang sama memberi perlindungan apabila menunggang laju di atas lebuh raya.

Bagi memudahkan penunggang menukar haluan, sudut stereng telah ditingkatkan kepada 38 darjah dari tengah ke full lock.

Jika berminat, CB500X ditawarkan pada harga RM36,099 seunit dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam metalik dan putih mutiara.  

GALERI

Google ads
Back to top button