Artikel PilihanBuletin

HONDA CIVIC TYPE-R MUNGKIN AKAN DIPASANG DI AS

Minggu lepas, Honda didakwa akan menutup kemudahan kilang pemasangan mereka di UK yang merupakan kilang pemasangan Civic hatchback dan juga FK2R Type-R.

Sebanyak 3,500 kakitangan kini berdepan risiko hilang pekerjaan. Ini bukanlah kilang pemasangan yang kecil malah ia adalah satu-satunya fasiliti yang memasang Honda Civic Type-R untuk pasaran seluruh dunia. Kilang di Swindon ini juga bertanggungjawab memasang CR-V untuk pasaran luar negara, khususnya untuk Eropah.

Semua pengeluaran ini mungkin akan beralih ke Jepun. Persoalannya, kenapa Honda menutup kemudahan ini, yang membina lebih 160,000 kenderaan pada tahun lepas, atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah pengeluaran Britain sebanyak 1.52 juta kereta?

Ia tiada kena mengena dengan Brexit, kata ahli undang-undang tempatan Justin Tomlinson (yang mengundi Brexit).

Beliau menjelaskan kepada Reuters bahawa keputusan Honda tidak bersangkut paut dengan Brexit, tetapi “mencerminkan pasaran global. Mereka (Honda) berusaha untuk menyatukan pengeluaran di Jepun.”

Walaupun itu mungkin benar, pembuat kereta Jepun itu telah memberi amaran kepada UK memuktamadkan kesepakatan Brexit dengan EU bagi memastikan pelaburan mereka di negara itu terus bertahan. Hakikat bahawa masih belum ada kesepakatan yang dibuat menjelang tarikh akhir bulan depan benar-benar menggusarkan Honda.

Terbaru, Honda mengeluarkan kenyataan kepada laman web autoblog bahawa ada kemungkinan pemindahan pemasangan akan dibuat di kemudahan kilang Honda di Amerika.

Antara alasan yang diberi ialah, permintaan model Civic Hatchback di Amerika sahaja ialah 20 peratus dari keseluruhan pasaran dunia. Melebihi jangkaan pengeluar tersebut.

Kemudahan pemasangan di Ohio, Amerika Utara itu bagaimanapun tidak akan bermula sehingga generasi Civic seterusnya dihasilkan. Honda membayangkan bahawa jika berlaku pemindahan, ia hanya akan dibuat selepas kilang di Swindon ditutup pada 2021.

Google ads
Back to top button