HARGA HYUNDAI TUCSON TURUN HINGGA RM8,088 – KINI BERMULA RM159K
Hyundai Motor Malaysia (HMY) mengumumkan semakan harga bagi rangkaian SUV Hyundai TUCSON di Malaysia sebagai usaha meningkatkan nilai pemilikan serta menjadikan model itu lebih mudah dimiliki oleh pengguna tempatan.
Berkuat kuasa serta-merta, Hyundai TUCSON 1.6T Prime kini ditawarkan pada harga bermula RM159,800 berbanding RM164,888 sebelum ini.
Varian TUCSON 1.6T Prestige AWD pula berharga RM179,800, turun daripada RM186,888, manakala TUCSON Prestige HEV kini dijual pada harga RM189,800 berbanding RM197,888 sebelum ini.
Menurut Hyundai Motor Malaysia, langkah itu sejajar dengan komitmen syarikat untuk menawarkan mobiliti premium yang lebih mampu milik tanpa menjejaskan aspek kualiti, keselamatan dan pengalaman pemilikan yang menjadi identiti jenama tersebut.

Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen berkata, TUCSON kekal sebagai antara model paling berjaya Hyundai di peringkat global hasil gabungan reka bentuk moden, teknologi keselamatan terkini dan kepraktisan untuk kegunaan harian.
Beliau berkata, semakan harga tersebut bertujuan memberi lebih nilai kepada pelanggan Malaysia sambil mengekalkan standard produk dan perkhidmatan yang selaras dengan piawaian global Hyundai.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2004, Hyundai TUCSON telah mencatat jualan melebihi 10 juta unit di seluruh dunia, menjadikannya SUV paling laris dalam portfolio Hyundai.
Popularitinya terus dipacu oleh reka bentuk yang menarik, ciri keselamatan canggih dan kesesuaian untuk pelbagai keperluan pengguna.

Walaupun harga baharu diperkenalkan, Hyundai menegaskan semua varian TUCSON mengekalkan spesifikasi dan kelengkapan sedia ada.
Pelanggan masih menikmati pakej ciri yang sama termasuk sistem keselamatan aktif Hyundai SmartSense yang ditawarkan pada ketiga-tiga varian.
Untuk pasaran Malaysia, Hyundai Tucson datang dengan dimensi berukuran 4,630mm panjang, 1,865mm lebar dan jarak roda sepanjang 2,755mm memberi ruang kabin lebih luas dan selesa.
Ruang but pula menawarkan 582 liter kapasiti asas, yang boleh dipertingkatkan kepada 1,903 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan.
Masuk ke ruang kabin, perubahan besar turut dilakukan. Ia hadir dengan susunan skrin dwi-panel mendatar, lengkap dengan corong penyaman udara yang disorok. Reka bentuk stereng juga baharu – ringkas dengan tiga jejari dan tanpa logo Hyundai.



