Artikel Pilihan

SR16VE N1 – JAWAPAN NISSAN KEPADA HONDA CIVIC TYPE-R

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang enjin SR16VE N1 Neo VVL yang dikatakan telah merampas takhta pesaingnya sebagai “Most Powerful 1.6cc Naturally Aspirated Engine” pada era 1997- hingga 2000.

1990-AN. ERA KEGEMILANGAN TEKNOLOGI JEPUN

Pada sekitar tahun 90-an. Pembuat kenderaan Jepun berlumba-lumba menghasilkan enjin yang tahan lasak, tahan lama dan yang paling penting BERKUASA.

Hasilnya. Lihatlah pada hari ini, barisan enjin pada tahun 90an ini lah juga yang menjadi pujaan dan disebut-sebut hingga ke hari ini.

Kalau nak cerita tentang model enjin yang dikeluarkan pada tahun 90-an, memang banyak. Terlalu banyak. Cuma saya kecilkan skop kepada seteru utama dua kuasa besar Automotif pada ketika itu iaitu antara Nissan dan Honda.

Pada ketika itu, enjin B16A SiR-V generasi pertama yang terletak di dalam chassis CRX SiR (EF8) dan Civic SiR(EF9) menjadi dambaan ramai. Tiada pembuat kenderaan yang berani mencabar.

Di sana Honda, di sini Honda dan dimana-mana Honda. Memang siapa pakai H akan ditabalkan sebagai King ketika itu.

Mana tidaknya, dengan enjin yang bersesaran hanya sebesar 1,595cc kuasa yang mampu dihamburkan adalah sebanyak 170hp pada 7,600rpm dan Torque sebanyak 150Nm pada 7,000rpm.

Sistem VTEC pula berfungsi pada RPM 5,500. Garisan merah (Redline) pada 8,000rpm. Fuhh. Mengerang-ngerang enjin ni.

Belum cukup dengan ini, pihak Honda kemudian datangkan pula dengan B16A SiR-II generasi kedua yang terletak di chassis Intergra XSi (DA6,DA8), Civic SiR (EG6, EG9, EK4) dan CRX Del Sol Sir (EG2).

Spesifikasi enjin adalah sama seperti generasi pertama tetapi nisbah mampatan ditingkatkan dari 10:2:1 ke 10:4:1.

Hasilnya? 170hp pada 7,400rpm dan Torque sebanyak 157Nm pada 7,000rpm. Garisan merah (Redline) ditingkatkan ke 8,200rpm. Fungsi VTEC masih dikekalkan pada 5,500rpm. Jadi, model ini kuasanya masih sama, cuma puncak kuasanya lebih awal dari generasi pertama dan Torque yang tinggi sedikit.

Seterusnya, yang ditunggu-tunggu oleh dunia untuk mengisi jawatan sebagai “King” pun tiba. B16B Type R dilancarkan pada tahun 1997 yang terletak di dalam chassis Civic EK9 Type R.

Sesaran enjin masih sama iaitu 1,595cc akan tetapi, Nisbah Mampatan ditingkatkan ke 10:8:1. Connecting Rod ditukar kepada yang lebih panjang kepada 142.42mm berbanding 134mm pada model sebelumnya.

Redline pada 8,400rpm! Rev limit pula 9,000rpm! Haha. Bukan Biashe Biashe bossku.

VTEC ? Berfungsi pada 5,800RPM. Lewat sikit. Hasilnya ? 182hp pada 8,200rpm dan Torque sebanyak 160Nm pada 7,500rpm. Dari angka-angka ini semua, enjin ini memang direka untuk menjerit.

Ketika Honda dilihat begitu agresif, pihak Nissan ketika itu tidak mampu berdiam diri. Waktu itu juga, 4G92 Mivec Mitsubishi dan 4AGE Toyota hanya mampu ternganga.

Ramai ingat Nissan tidak akan membuat apa-apa kerana ketika itu mereka sibuk dengan RB26DETT mereka yang bersaing dengan 2JZ. Tapi tidakkkk. Kegawatan ekonomi ketika itu tidak menghalang mereka.

KELAHIRAN SR16VE

Kemudian lahirlah SR16VE yang diletakkan di dalam chassis Pulsar VZ-R. Enjin ini bersesaran 1,596cc. Kuasa yang dihamburkan pula adalah sebanyak 175hp pada 7,800rpm dan Torque sebanyak 161Nm pada 7,200rpm dan redline pula pada 8,300rpm.

Apa yang membuatkan enjin ini menarik adalah sistem Variable Valve Lift (VVL) bagi injap masukan dan ekzos berfungsi secara individu.

Bagi Sistem VTEC, injap masukan dan ekzos berfungsi secara serentak. Jadi, enjin ini akan memberikan anda 2 kali bukaan dan anda akan dengar dua kali perbezaan bunyi.

Senang cakap, macam VTEC buka dua kali. VVL Injap masukan dibuka pada 5,000rpm dan ekzos pada 6,500rpm. Fuhh. Menjerittttt !!! Selain itu, enjin ini mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 11:0:1.

Pengeluaran enjin ini menjadikan persaingan semakin kompetetif. Mitsubishi juga bangkit dengan MIVEC RS nya (175hp). Toyota bangkit dengan 4AGE Blacktop 20v nya (170hp). Nampak tak ? Kegawatan ekonomi tidak menghalang mereka.

Pihak Nissan pula masih berfikir. Kita masih belum juara. Kita mesti jadi juara.

Fikir punya fikir punya fikir, pada tahun 1998 lahirlah SR16VE N1. Ingat ya, N1. Jika pihak Nissan sudah mengeluarkan versi N1 bermakna mereka amat serius.

Sebagai rujukan, lihatlah RB26DETT N1. Penambahbaikan dilakukan kepada enjin ini. Unit Intake Manifold ditambah baik, unit Throttle Body ditukar kepada 70mm. Bahagian kepala silinder juga ditambah baik dan nisbah Mampatan ditingkatkan kepada 11:7:1.

Unit injap dan pegas injap ditambah baik untuk menampung kelajuan yang lebih tinggi. Unit Camshaft ditukar kepada Camshaft berdurasi 220-288 degree bagi masukan dan 244-288 degree bagi ekzos.

Pembangunan enjin ini dilakukan bersama dengan pihak Autech. Korang ingat Nissan ada Nismo je? Haha! Hasilnya? 197hp pada 7,800rpm dan Torque sebanyak 182Nm pada 7,600rpm.

Unit ini dihasilkan sebanyak 500 unit dan memang tujuan ia dihasilkan untuk melawan EK9 Type R dan untuk menjadi juara.

Tuan-Tuan. Hampir 200hp kuasa dihamburkan oleh sebuah enjin yang bersesaran 1,596cc. Ini pada tahun 1998 Tuan-Tuan. 21 tahun lepas. Punyalah maju teknologi Jepun pada ketika itu.

Pihak Honda, Mitsubishi, dan Toyota terdiam. Bukan sahaja mereka, bahkan seluruh dunia tertumpu kepada mereka.

Seperti soalan Winston kepada John Wick ketika dia membunuh Santino D’Antonio, “What have you done?” John Wick menjawab, “Finished It”. Itu lah yang berlaku.

Inilah jawapan Nissan kepada dunia. Apa yang jadi seterusnya adalah sebuah lagenda hidup yang akan diceritakan pada ketika itu, sekarang, dan akan datang.

Juara sudah bertukar tangan. Raja 1.6cc NA telah bertukar tangan. Dari B16B ke SR16VE N1.

Tuan-Tuan, ini lah cerita sang juara. Saya perkenalkan sekali lagi, SR16VE N1. Ingat kod ini baik-baik. Dan juga ingatlah, begitu indah dunia automotif pada ketika itu.

Jadi, jika ada di antara rakan-rakan anda atau anda sendiri yang mempunyai enjin ini di dalam ruang enjin kenderaan, berikan tabik hormat padanya.

Jadi, inilah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan pada Tuan-Tuan sekalian. Bukan saya hendak membandingkan jenama. Saya tidak berpihak kepada sesuatu jenama. Saya cuma menyampaikan fakta yang tersurat dan tersirat. Harap perkongsian saya kali ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian.

Google ads
Back to top button