Artikel Pilihan

SENARAI 10 ENJIN TERBAIK TOYOTA SEPANJANG ZAMAN

Tengok tajuk ni mesti ramai abang-abang Vios, Avanza dan Rush mula angkat kening sambil baca tajuk kuat-kuat kat member sebelah. Sabar bang, baca dulu. Ini memang cerita pasal sepuluh enjin terbaik Toyota tapi dipasang pada model lain. Tapi tak salah kalau nak rasa bangga kan? Toyota memang sudah banyak menghasilkan enjin-enjin yang menjadi kegilaan ramai sejak dari dulu. Dari enjin MR2 yang berkuasa sehinggalah enjin jentera Le Mans GT-One yang cuma boleh dilihat di muzium. Mari kita tengok 10 enjin terbaik ini.

2JZ-GTE

Antara enjin paling popular Toyota dan dilengkapkan pada Toyota Supra Turbo dari tahun 1993-1998. Ia mampu menghasilkan 320 hp kuasa dan 427 Nm tork. Supra generasi keempat memang terhutang budi dengan enjin ini kerana ia berjaya memacu Supra ini mencipta rekod demi rekod dalam pelbagai acara sukan motor. Enjin ini berpotensi untuk projek modifikasi dan mampu dinaik taraf sehingga 2,000 hp. Setakat nak naikkan kuasa sehingga 750 hp itu kacang sahaja bagi enjin ini dengan modifikasi yang minima.

1JZ-GTE

Ini pula ialah enjin yang dilengkapkan pada Toyota Chaser dari tahun 1996-2001 dan mampu menghasilkan 280 hp kuasa dan 380 Nm tork. Jika anda rasa yang enjin 2JZ-GTE merupakan enjin bintang Toyota anda memang tidak salah tetapi 1JZ-GTE tetap mempunyai tarikan tersendiri. Walaupun ia mempunyai sesaran yang lebih kecil masih dilengkapi dengan teknologi VVT-i dan pengecas turbo tunggal CT15B yang mampu melonjakkan kereta-kereta eksekutif ini ke hadapan pesaing sewaktu mula memecut.

4A-GE

Enjin klasik Toyota yang digunakan pada Corolla GT-S dari tahun 1984-87. Ia mungkin kurang berkuasa berbanding enjin terdahulu tetapi ia merupakan antara enjin twin cam 4-selinder 16-injap pertama dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api dan banyak mengunakan ciri-ciri enjin lagenda Cosworth. Kini selepas hampir dekad ia masih mendapat tempat di hati para peminat Toyota klasik.

3S-GTE

Jika 2JZ-GTE merupakan nadi kehebatan Supra, 3S-GTE ini memainkan peranan yang sama kepada MR2 dari tahun 1991-99. Toyota mengeluarkan 3 generasi 3S-GTE dan generasi terakhir mampu menghasilkan 260 hp kuasa. Enjin 4-selinder 2.0L ini mempunyai semua elemen kejuruteraan terhebat pada masa itu dan digabungkan dalam satu enjin seperti pancitan minyak untuk menyejukkan piston, intercooler dan sistem dwi-kemasukan perumah turbin yang hanya dikenalpasti kepentingannya oleh para tuner sepuluh tahun kemudian.

4U-GSE/FA20

Gabungan Toyota dan Subaru dalam menghasilkan enjin boxer tidak membuahkan enjin 4-selinder paling berkuasa tetapi itu tidak bermakna enjin ini sebuah enjin biasa. Ia seperti produk kacukan dengan konfigurasi enjin Toyota dan konfigurasi boxer Subaru. Ia dilengkapi dengan AVCS (Active Valve Control System) pada kedua aci sesondolnya,blok dan kepala selinder daripada aluminium ringan yang bila digandingkan dengan komponen lain memberikan nisbah mampatan 12.5:1 yang menjadikannya cukup berkuasa. Ia merupakan sebuah enjin moden Toyota dan digunakan oleh Toyota Scion FR-S dari tahun 2013-16.

1LR-GUE

Ia sebuah enjin yang tidak mungkin dapat dimiliki tetapi bukankah itu yang menjadikannya lebih istimewa. Ia merupakan enjin 4.8-liter V10 yang dilengkapkan pada Lexus LFA 2011-13. Walaupun mempunyai sesaran yang besar, enjin ini mampu berputar sehingga ke 9,000 rpm. Ia menggunakan piston yang ditempa dan rod daripada titanium. Dilengkapi dengan throttle body berasingan untuk setiap selinder, enjin ini memang bukan enjin V10 biasa. Kenapa? Seba ia dicondongkan 72 darjah dan bukannya 90 darjah seperti enjin V10 lain agar lebih seimbang dan menyumbang kepada berat yang lebih baik.

7M-GTE

Jangan ingat enjin Supra generasi terdahulu sebelum 2JZ tidak berkuasa. Ia bahkan menetapkan haluan yang kemudian dituruti oleh enjin 2JZ seperti pengecas turbo standard dan intercooler. Pada suatu masa dulu inilah enjin paling berkuasa dari Toyota dan menyumbang kepada kegemilangan Supra dan Celica.

2ZZ-GE

Enjin 2ZZ-GE dengan teknologi VVTL-i merupakan respon Toyota kepada dominasi Honda dan VTEC selama 10 tahun. Walaupun enjin ini tidak mempunyai lambakan peralatan naik taraf seperti enjin keluaran Honda taoi dalam keadaan standard pun ia masih memberikan pulangan yang baik. Enjin rekaan Yamaha ini mempunyai nisbah mampatan 11.5:1 dan dengan rekaan dari aluminium yang cukup ringan, anda tidak akan merasa bersalah untuk memainkan pedal minyak sepanjang hari.

R36V

Sebuah enjin yang mustahil dapat dibeli dan digunakan oleh jentera Le Mans, Toyota GT-One. Ia merupakan sebuah enjin 8-selinder 3.6-Liter LMGTP. Dihasilkan dalam kuantiti yang terhad termasuk dua unit untuk versi jalanan sebagai mematuhi peraturan Le Mans, R36V menggunakan blok yang dihasilkan daripada gentian karbon yang diambil dari kereta Group C Toyota tahun 80-an. Hasilnya lahirlah enjin yang mampu membawa GT-One mencatat kelajuan maksima 380 km/j dam pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat.

3M

Ini bukannya jenama pelekat tetapi kod enjin sebaris enam lejen yang digunakan oleh Toyota 2000GT dari tahun 1967-70. Tengok pada 150 hp kuasa tu memang nampak biasa-biasa hari ini tapi satu ketika dulu ia memang lejen. Ini juga merupakan hasil kerjasama Toyota bersama Yamaha dan hasilnya lahirlah enjin twin-cam ini yang dilengkapi dengan 3 karburator Solex.    

Kredit Superstreetonline.com

Google ads
Back to top button