
TARO DEDAH SKUTER ADV 400CC DUA SILINDER DI CHINA – 40HP, 42NM
Taro Moto bakal menyertai segmen skuter adventure dua silinder menerusi model serba baharu yang diberi nama Ats-400T.
Untuk rekod, meskipun jenama Taro Moto tidak dipasarkan di Malaysia secara rasmi namun beberapa produk dari jenama itu sudah pun menembusi pasaran sini.

Aveta Viper 180, Vanguard 250 dan Moda Sporter S 250 merupakan antara produk dari Taro Moto namun dijenamakan semula di Malaysia oleh AVETA dan MODA. *
Menurut Taro Moto, kod nama ATS merujuk kepada All-Terrain Scooter, sekaligus memberi bayangan bahawa skuter ini sesuai untuk digunakan dalam apa jua senario.

Menggerakan ATS-400T adalah enjin dua silinder 398cc 8-valve dengan sistem penyejuk cecair yang berupaya menghasilkan 40hp dan 42Nm. Taro mendakwa skuter ini mampu mencapai kelajuan sekitar 155km/j.
Untuk perbandingan, SYM ADXTG 400 dan Zontes 368G masing-masing menawarkan 34hp dan 37Nm serta 38.8hp dan 40Nm. Ketika ini, pesaing terdekat adalah Voge SR450X yang turut dikuasakan enjin parallel-twin dan menawarkan 42hp dan 44Nm.

Seperti kebiasaan, skuter dari China ini juga menawarkan pelbagai ciri terkini termasuk:
meter TFT 9-inci dengan fungsi touchscreen
- grip dan tempat duduk dengan fungsi pemanas
- dashcam depan dan belakang
- sistem keyless NFC
- rim-17 inci depan dan 14-inci belakang

Bagi menonjolkan imej adventure, ATS-400T ini juga dilengkapi dengan rim jenis lidi (spoked) di samping tangki bahan api berkapasiti 17.5L. Berat keseluruhan pula adalah 205kg manakala jarak antara tanah (ground clearance) adalah 175mm.
Persoalannya, adakah Taro ATS-400T ini akan turut dipasarkan di Malaysia dan dijenamakan semula seperti Vanguard 250 dan Sporter S 250?

