
TOYOTA SAHKAN HILUX FCEV BAKAL DILANCARKAN DI EROPAH PADA 2028
Toyota mengesahkan bahawa varian baharu pikap Hilux yang menggunakan teknologi sel bahan api hidrogen (FCEV) akan memasuki pasaran Eropah menjelang tahun 2028, sekali gus memperluaskan pilihan rangkaian kuasa dalam barisan model tersebut.
Model itu akan ditawarkan bersama varian diesel hibrid ringan serta versi elektrik sepenuhnya (BEV), selaras dengan pendekatan pelbagai teknologi yang terus diamalkan pengeluar Jepun berkenaan dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Toyota turut menayangkan imej acah pertama Hilux FCEV yang memperlihatkan rekaan lampu nyalaan siang (DRL) baharu dengan elemen bersegmen.
Walaupun maklumat teknikal penuh masih dirahsiakan, syarikat itu menyasarkan jarak perjalanan melebihi 400 kilometer mengikut piawaian WLTP serta kemampuan menunda sehingga 2,500 kilogram.
Sebagai perbandingan, Hilux elektrik yang telah diperkenalkan sebelum ini menawarkan jarak perjalanan sekitar 257 kilometer dan kapasiti menunda antara 1,600 hingga 2,000 kilogram bergantung kepada konfigurasi.

Salah satu kelebihan utama teknologi hidrogen ialah tempoh mengisi bahan api yang jauh lebih singkat berbanding mengecas bateri. Tangki hidrogen boleh diisi dalam tempoh kira-kira lima minit, namun penggunaan teknologi itu masih bergantung kepada ketersediaan infrastruktur stesen pengisian hidrogen.
Ketika ini, jumlah stesen pengisian hidrogen di Eropah dan United Kingdom masih terhad, sekali gus menjadikan Hilux FCEV lebih sesuai untuk pasaran atau pengguna tertentu.
Selain isu infrastruktur, kos pemilikan juga dijangka menjadi cabaran kerana model berasaskan hidrogen lazimnya ditawarkan pada harga lebih tinggi berbanding model enjin pembakaran dalaman atau kenderaan elektrik bateri.
Toyota sebenarnya telah memulakan pembangunan Hilux berkuasa hidrogen sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2022, syarikat itu memperkenalkan prototaip pertama yang menggunakan teknologi sel bahan api daripada sedan Toyota Mirai.
Dua tahun kemudian, sebanyak 10 unit prototaip Hilux FCEV dibina di United Kingdom untuk tujuan ujian lapangan. Kenderaan tersebut dilengkapi tiga tangki hidrogen yang dipasang pada casis ladder frame serta bateri lithium-ion di bawah ruang kargo belakang.
Prototaip berkenaan dilaporkan mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 600 kilometer dan digerakkan oleh motor elektrik yang menghasilkan 180hp serta 300Nm tork.
Dalam perkembangan sama, Toyota turut mempamerkan rangkaian kenderaan komersial ringan (LCV) di IAA Transportation 2026 yang berlangsung di Hannover, Jerman.
Jualan kenderaan komersial Toyota di Eropah dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, dengan syarikat menyasarkan jualan melebihi 165,000 unit pada tahun ini sebelum meningkat kepada 200,000 unit setahun menjelang 2030.
Selain Hilux yang dibangunkan sendiri, Toyota turut menawarkan rangkaian van Proace bersaiz kompak, sederhana dan besar yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Stellantis.
Strategi itu membolehkan Toyota menyediakan pilihan elektrik sepenuhnya bagi keseluruhan rangkaian LCV mereka.
Pada masa ini, model sifar emisi menyumbang kira-kira 22 peratus daripada jualan LCV Toyota di Eropah, iaitu dua kali ganda berbanding purata pasaran sebanyak 11 peratus.
Walaupun terus memperkenalkan teknologi elektrik dan hidrogen, Toyota menegaskan bahawa enjin diesel masih mempunyai peranan penting dalam sektor komersial, terutama bagi pelanggan yang memerlukan ketahanan operasi tinggi dan fleksibiliti penggunaan di pelbagai keadaan.
Enjin diesel tersebut juga boleh menggunakan bahan api boleh diperbaharui seperti HVO bagi membantu mengurangkan pelepasan karbon.







