
ISU SUSPENSI MODEL Y L CETUS TANDA TANYA, TESLA TUKAR DATA RASMI
Tesla berdepan perhatian pengguna di China selepas beberapa pemilik Model Y L, SUV enam tempat duduk yang dipasang di Gigafactory Shanghai, melaporkan isu berkaitan sistem suspensi belakang, didakwa mengalami penurunan ketinggian luar biasa selepas tempoh penggunaan tertentu.
Dalam perkembangan terbaru, pengguna turut menemui perbezaan pada maklumat teknikal yang dipaparkan dalam manual rasmi kenderaan itu.
Semakan mendapati laman manual pemilik Tesla di China masih menyenaraikan jarak kelegaan tanah (ground clearance) tanpa muatan pada paras 169mm, manakala versi manual dipaparkan menerusi laman global Tesla menunjukkan angka 166mm.
Selain itu, beberapa ukuran lain turut didapati berubah. Ketinggian keseluruhan kenderaan kini disenaraikan pada 1,664mm, manakala jarak kelegaan tanah ketika membawa muatan direkodkan pada 118mm. Ketiga-tiga ukuran tersebut dilaporkan lebih rendah berbanding angka yang pernah dipaparkan sebelum ini.

Semakan terhadap arkib laman web menunjukkan spesifikasi berkenaan masih kekal tanpa perubahan pada Jun tahun ini, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada perubahan yang dibuat melibatkan kemas kini dokumentasi semata-mata atau terdapat pelarasan teknikal pada kenderaan.
Ketika diminta mengulas mengenai perbezaan tersebut, khidmat pelanggan Tesla China tidak memberikan penjelasan terperinci. Sebaliknya, mereka memaklumkan bahawa ukuran ketinggian bahagian roda dan suspensi boleh dipengaruhi pelbagai faktor seperti tekanan tayar, keadaan permukaan jalan, taburan beban serta keadaan sistem casis.
Setakat ini, Tesla belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca perubahan spesifikasi yang dipaparkan dalam manual berkenaan.
Sejak diperkenalkan pada Ogos 2025, Model Y L dilaporkan menerima pelbagai aduan di media sosial. Antara isu sering dibangkitkan ialah jarak antara tayar belakang dan ruang gerbang roda yang semakin mengecil selepas perjalanan jauh atau apabila kenderaan membawa muatan penuh.
Beberapa pemilik mendakwa masalah tersebut muncul selepas penggunaan sekitar 9,000 kilometer hingga hampir 30,000 kilometer. Keadaan itu turut dikaitkan dengan kehausan tidak sekata pada bahagian dalam tayar, menyebabkan sesetengah tayar perlu diganti lebih awal daripada jangkaan.
Menurut laporan pengguna, Tesla telah menggantikan spring suspensi di bawah jaminan menggunakan komponen dengan nombor baharu, namun terdapat pemilik yang mendakwa masalah sama masih berulang walaupun selepas kerja penggantian dilakukan.
Dokumen servis dalaman yang dilaporkan turut menyatakan bahawa ketinggian normal gerbang roda belakang ditetapkan pada 784 ± 20mm, dan penggantian spring hanya akan diluluskan jika bacaan jatuh di bawah 764mm.
Sehingga kini, punca sebenar perubahan ketinggian suspensi belakang yang dilaporkan oleh pemilik masih belum diumumkan secara rasmi, sekali gus menyebabkan pengguna terus menantikan penjelasan serta penyelesaian jangka panjang daripada Tesla.







