
HONDA MALAYSIA LANCAR KEMPEN “HYBRID DONE RIGHT”. TEMPAHAN PRELUDE DIBUKA
Petaling Jaya, 1 April 2026 – Honda Malaysia hari ini melancarkan kempen “Hybrid Done Right” sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen mobiliti elektrifikasi, khususnya melalui teknologi hibrid e:HEV yang menekankan keseimbangan antara prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan.
Bersandarkan lebih dua dekad pengalaman dalam pembangunan teknologi hibrid, Honda Malaysia menyatakan bahawa sistem e:HEV terkini direka untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar serta responsif, tanpa mengorbankan keseronokan memandu.
Sistem ini berupaya menukar secara pintar antara mod elektrik, hibrid dan enjin bergantung kepada keadaan pemanduan, sekali gus mengoptimumkan kecekapan bahan api dan prestasi keseluruhan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata pembangunan teknologi hibrid Honda sentiasa berteraskan tiga elemen utama iaitu prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan bagi memastikan ia dapat memenuhi keperluan harian pelanggan.

Beliau turut menegaskan bahawa elektrifikasi tidak seharusnya menjejaskan pengalaman pemanduan, sebaliknya perlu mempertingkatkan keseronokan di sebalik roda. Pada masa ini, trenkuasa e:HEV ditawarkan pada beberapa model utama Honda di Malaysia termasuk City, City Hatchback, HR-V, Civic dan CR-V baharu, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama itu dalam pasaran hibrid tempatan.
Honda Malaysia turut menyokong penawaran ini dengan rangkaian servis yang meluas, ketersediaan alat ganti serta nilai pemilikan yang kompetitif. Seiring dengan pelancaran kempen “Hybrid Done Right” yang berlangsung dari 1 April hingga 30 Jun 2026, pelanggan yang membeli model e:HEV akan menikmati rebat tunai tambahan sebanyak RM2,000 serta servis buruh percuma selama dua tahun pertama, tertakluk kepada terma dan syarat.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang menyertai cabutan bertuah bulanan untuk memenangi pengalaman memandu All-New Prelude selama seminggu selepas model tersebut dilancarkan kelak.
Dalam masa sama, pemilik sedia ada model hibrid Honda turut diberi peluang untuk menyertai pertandingan “Hybrid Done Right” dengan berkongsi bacaan penggunaan bahan api sebenar bagi satu tangki penuh di media sosial. Peserta dengan prestasi terbaik akan menerima pakej servis percuma selama setahun atau sehingga 10,000 kilometer, yang mana terdahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, Honda Malaysia turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi All-New Prelude, yang menandakan kembalinya model ikonik tersebut ke pasaran. Model ini merupakan coupe sport hibrid e:HEV pertama dalam barisan Honda Malaysia dan dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku kedua tahun 2026.
All-New Prelude memperkenalkan teknologi S+ Shift yang ditawarkan buat pertama kali dalam barisan model Honda Malaysia. Sistem ini berfungsi bersama Active Sound Control untuk mensimulasikan pertukaran gear, di samping meningkatkan respons enjin melalui penyelarasan antara enjin dan dua motor elektrik. Ia turut dilengkapi fungsi “shift hold” bagi meningkatkan ketepatan kawalan kenderaan mengikut input pemandu.
Dari segi trenkuasa, model ini menggunakan sistem 2.0L e:HEV yang menghasilkan kuasa maksimum 184 PS dan tork 315 Nm. Gabungan ini membolehkan pecutan segera, penghantaran kuasa yang lancar serta kawalan yang lebih tepat, sejajar dengan karakter sebuah coupe sport moden.
Reka bentuk luaran All-New Prelude menampilkan gaya aerodinamik dengan dimensi sepanjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,355 mm serta jarak roda 2,605 mm. Antara ciri utama termasuk garisan bumbung yang kemas melalui teknik laser brazing, pemegang pintu jenis flush, gril hadapan berkemasan Black Chrome serta aksen biru halus pada bahagian bampar.
Model ini turut dilengkapi lampu LED penuh, Active Cornering Lights, rim aluminium 19 inci serta sistem brek Brembo.

Dari aspek keselamatan, All-New Prelude hadir dengan sistem Honda SENSING selain dilengkapi Blind Spot Information (BSI) dan Cross Traffic Monitor (CTM) bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan pemandu di jalan raya.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan melalui laman web rasmi Honda Malaysia atau mengunjungi pengedar sah Honda di seluruh negara untuk maklumat lanjut mengenai kempen “Hybrid Done Right”. Untuk tempahan Honda Prelude, bakal pemilik boleh menempah secara atas talian https://prebook.honda.com.my/



