Buletin

TESLA MODEL Y L RASMI DILANCARKAN – JARAK GERAK 681KM, ANGGARAN HARGA RM260K

Varian baharu Tesla Model Y L rasmi dilancarkan hari ini di Pavilion Kuala Lumpur, sekali gus menambah satu lagi pilihan dalam barisan Model Y di Malaysia.

Sebelum ini, model tersebut ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD), Long Range (RWD), dan Long Range pacuan semua roda (AWD).

Kehadiran versi “L” ini membawa pendekatan berbeza dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Dari segi saiz, Model Y L tampil lebih panjang dengan ukuran 4,976mm panjang, 2,129mm lebar dan 1,668mm tinggi, bersama jarak roda 3,040mm.

Ruang kargo pula fleksibel, bermula 420 liter dan boleh diperluaskan sehingga 2,539 liter, manakala berat kenderaan mencecah 2,088 kg.

Ia hadir susun atur enam tempat duduk dengan kerusi kapten di barisan kedua. Kerusi ini bukan sahaja dilengkapi fungsi pemanas dan pengudaraan seperti di bahagian hadapan, malah turut mempunyai perehat tangan bermotor serta pelarasan elektronik untuk posisi dan sudut sandaran.

Akses ke barisan ketiga juga lebih mudah kerana penumpang boleh berjalan di laluan tengah tanpa perlu melipat kerusi.

Menariknya, apabila pintu dibuka, perehat tangan kerusi kapten akan turun secara automatik bagi memberi ruang laluan yang lebih luas.

Barisan ketiga pula dilengkapi pemanas tempat duduk, namun tiada fungsi pengudaraan, sesuatu yang mungkin kurang praktikal dalam iklim panas seperti Malaysia.

Walau begitu, ia masih hadir dengan pelarasan sandaran secara elektronik, pemegang cawan, port USB-C dan corong penghawa dingin sendiri.

Selain konfigurasi tiga baris, Model Y L turut menerima beberapa ciri tambahan seperti sokongan paha boleh laras secara elektronik di kerusi hadapan, sistem audio 18 pembesar suara bersama subwoofer, salutan kaca belakang penolak haba, spoiler hitam, serta suspensi adaptif dengan kawalan redaman elektronik.

Dari sudut penampilan, warna Stealth Grey menjadi pilihan standard, dengan beberapa pilihan lain seperti putih, hitam, biru, merah dan perak ditawarkan dengan kos tambahan. Selain itu, model ini hanya didatangkan dengan rim 19-inci Machina 2.0.

Ruang kabin pula mengekalkan skrin sentuh utama 16-inci di hadapan serta skrin 8-inci untuk penumpang barisan kedua, bersama pilihan dalaman sama ada hitam standard atau tema Zen Grey.

Dari segi prestasi, ia mampu bergerak sejauh sehingga 681km (WLTP), dengan kelajuan maksimum 201km/j dan pecutan 0-100km/j sekitar 5 saat.

Bagi pengecasan, SUV elektrik ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 250kW, yang boleh menambah jarak sekitar 288km dalam tempoh hanya 15 minit menggunakan rangkaian Supercharger.

Untuk penggunaan harian, pengecasan AC sehingga 11kW turut disediakan.

Bagi harga, model YL ditawarkan pada harga anggaran bermula RM260,000, dan jangkaan penghantaran pada suku kedua 2026 (Q2 2026).

GALERI:

Google ads
Back to top button