
KENAPA KERETA SPORT MODEN JADI LEBIH “GEMUK”?
Dalam dunia automotif moden yang menjadi semakin bersih dan selamat, satu perubahan besar sedang berlaku secara senyap tetapi ketara iaitu kereta berkuasa tinggi kini semakin berat dan semakin gemuk. Jika dibandingkan dengan model-model lama yang terkenal dengan falsafah ringan dan lincah, generasi baharu jelas menunjukkan pertambahan berat yang ketara.
Perkara ini mungkin kedengaran seperti semakin mengundur ke belakang dengan kemajuan teknologi bahan yang semakin moden. Bagi peminat pemanduan tulen, namun hakikatnya ia adalah satu evolusi yang tidak dapat dielakkan.
Punca utama kepada fenomena “kereta menjadi semakin gemuk” adalah peralihan industri ke arah elektrifikasi. Sama ada dalam bentuk hibrid atau kenderaan elektrik sepenuhnya, sistem trenkuasa moden kini jauh lebih kompleks berbanding enjin pembakaran dalaman konvensional.

Sebuah kereta hibrid prestasi, bukan sahaja perlu membawa enjin petrol, tetapi juga motor elektrik, pek bateri bersaiz besar, serta sistem penyejukan tambahan untuk enjin, turbo dan juga bateri. Semua komponen ini menyumbang kepada peningkatan berat yang ketara, kadangkala mencecah ratusan kilogram.
Namun begitu, hakikatnya ialah pengeluar tidak mempunyai banyak pilihan. Regulasi emisi global yang semakin ketat memaksa mereka untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan bahan api.
Dalam konteks ini, elektrifikasi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Untuk memastikan model prestasi terus relevan dan mematuhi undang-undang, pengeluar terpaksa menerima hakikat bahawa berat tambahan adalah satu kompromi yang perlu dibuat.
Walaupun berat meningkat, tahap prestasi tidak semestinya merosot. Malah, dalam banyak kes, kereta moden menjadi lebih pantas berbanding sebelumnya. Ini kerana motor elektrik mampu memberikan tork maksimum secara serta-merta, memberikan pecutan yang lebih agresif bermula dari keadaan statik.

Tambahan pula, sistem pacuan semua roda yang dikawal secara elektronik serta teknologi casis terkini membantu mengimbangi kekurangan akibat berat tambahan. Hasilnya, kereta-kereta ini masih mampu mencatat masa pecutan dan prestasi keseluruhan yang mengagumkan.
Walau bagaimanapun, hukum fizik dan dinamik tetap tidak boleh diketepikan. Berat yang lebih tinggi memberi kesan langsung terhadap dinamik pemanduan. Kereta yang lebih berat memerlukan jarak membrek yang lebih panjang, kurang lincah ketika mengambil selekoh, dan memerlukan lebih usaha untuk menukar arah bagi mengatasi momentum dan juga olengan cesi.
Walaupun teknologi moden mampu menutup sebahagian kelemahan ini, ia tidak dapat menghapuskannya sepenuhnya. Keadaan ini mewujudkan satu paradoks dalam dunia kereta prestasi. Dahulu, prinsip utama kereta sport adalah mudah.
Lebih ringan bermakna lebih laju dan lebih menyeronokkan untuk dipandu. Kini, pendekatan tersebut telah berubah. Kereta menjadi lebih berat, tetapi pada masa yang sama juga lebih berkuasa dan lebih pantas, hasil bantuan elektrifikasi dan sistem elektronik canggih. Ini menjadikan definisi “kereta prestasi” itu sendiri semakin berkembang.
Kesimpulannya, peningkatan berat dalam kereta prestasi moden bukanlah satu kegagalan kejuruteraan, tetapi satu tindak balas terhadap keperluan semasa industri. Elektrifikasi, regulasi emisi, dan jangkaan pengguna semuanya memainkan peranan dalam membentuk hala tuju ini.
Walaupun faktor ini mungkin mengorbankan sebahagian elemen pemanduan klasik yang mengujakan, ia juga membuka pintu kepada tahap prestasi yang sebelum ini sukar dicapai. Dalam erti kata lain, untuk terus “hidup” dalam era baharu ini, kereta prestasi memang tiada pilihan selain menjadi lebih berat.

