
HONDA MALAYSIA RACING TEAM JUARA S1K, CATAT REKOD PUSINGAN TERPANTAS
Honda Malaysia Racing Team (HMRT) membuktikan keupayaan tenaga kerja tempatan apabila muncul juara keseluruhan perlumbaan ketahanan Sepang 1,000 Kilometres (S1K) 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Sabtu lalu.
Kemenangan pada 21 November itu diraih menerusi jentera Honda Civic bernombor 27 yang dipandu oleh Putera Adam Halim dan Avila Bahar. Mereka menamatkan perlumbaan selepas melengkapkan 181 pusingan dalam tempoh lapan jam, 16 minit dan 19.311 saat.
Lebih membanggakan, HMRT turut mencatat rekod baharu S1K apabila merekodkan masa pusingan terpantas 2 minit 31.504 saat, sekali gus memperlihatkan tahap prestasi dan konsistensi jentera sepanjang perlumbaan berlangsung.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama erat serta komitmen seluruh anggota pasukan dalam menghadapi cabaran perlumbaan ketahanan berkenaan.

Menurutnya, pencapaian tersebut turut mencerminkan semangat ‘Challenging Spirit’ yang menjadi sebahagian daripada identiti Honda sejak penyertaan pertamanya dalam Merdeka Millennium Endurance Race pada 2003.
Beliau berkata, pengalaman yang diperoleh menerusi sukan permotoran bukan sekadar mengejar kemenangan, sebaliknya menjadi platform untuk membentuk disiplin, meningkatkan kemahiran dan menggalakkan budaya penambahbaikan berterusan dalam kalangan pekerja.
Untuk rekod, HMRT ditubuhkan pada 2003 sebagai inisiatif Honda Malaysia bagi memberi peluang kepada kakitangannya mengembangkan kemahiran teknikal dan insaniah menerusi aktiviti sukan permotoran.
Pasukan itu kini terdiri daripada 29 kakitangan yang bertugas di kilang pemasangan Honda Malaysia di Pegoh, Melaka serta pejabat korporatnya di Petaling Jaya, Selangor.

Pengurus Pasukan HMRT, Thayalakumaran Dorai Rethinam berkata, aspek kebolehpercayaan menjadi keutamaan dalam pembangunan jentera bagi musim ini, selain meletakkan sasaran untuk memenangi perlumbaan.
Katanya, kedua-dua jentera Honda Civic dipertandingkan berjaya menamatkan perlumbaan, sekali gus membuktikan ketahanan serta keupayaan keseluruhan pakej yang dibangunkan pasukan.
Malah, jentera nombor 27 turut mendahului perlumbaan dengan kelebihan enam pusingan sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.
Bagi edisi tahun ini, Honda Malaysia mempertaruhkan dua jentera Honda Civic dalam kategori M-Production.
Jentera nombor 26 dipandu oleh Aaron Lim, Farriz Fauzy dan Lai Wee Sing, manakala jentera nombor 27 dikendalikan oleh Putera Adam Halim dan Avila Bahar.

Menariknya, kedua-dua kereta dibangunkan sepenuhnya di kilang Honda Malaysia di Melaka oleh anggota HMRT yang meluangkan masa selepas waktu bekerja serta pada hujung minggu bagi memastikan jentera berada dalam keadaan terbaik untuk perlumbaan.
Kedua-duanya menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo Honda dengan spesifikasi asas yang sama seperti model pengeluaran untuk kegunaan jalan raya.
Bagaimanapun, jentera berkenaan menerima beberapa penambahbaikan menerusi kerja kejuruteraan dan talaan dalaman pasukan, termasuk sistem suspensi, brek serta aerodinamik khusus untuk perlumbaan ketahanan.
Kejayaan terbaharu ini turut mengulangi pencapaian Honda Malaysia yang pernah meraih kemenangan keseluruhan S1K pada 2015 menerusi Honda Jazz dan Honda City.
Selepas lebih sedekad, sokongan berterusan syarikat terhadap pembangunan HMRT akhirnya membuahkan hasil apabila pasukan itu kembali menduduki podium tertinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Honda dalam arena sukan permotoran tempatan.



