
TOYOTA RAIZE TERIMA VARIAN BAHARU, Z POWERFUL: LEBIH SPORTY, HARGA DARI RM64K
Toyota memperkenalkan beberapa penambahbaikan untuk SUV kompak Raize bagi pasaran Jepun, termasuk melancarkan varian khas Z “POWERFUL” yang hadir dengan penampilan lebih sporty dan lasak.
Model yang berkongsi asas mekanikal dengan Perodua Ativa itu mula ditawarkan di Jepun pada 16 November 2026. Antara perubahan diberikan merangkumi peningkatan sistem keselamatan, kelengkapan kabin tambahan serta pilihan warna badan baharu.
Edisi Z “POWERFUL” ditawarkan untuk varian Z enjin petrol dan hibrid. Model ini menerima beberapa elemen kemasan hitam bagi memberikan imej lebih garang, termasuk perumah cermin sisi, pemegang pintu dan antena sirip jerung.

Ia turut dilengkapi rim aloi hitam bersaiz 17-inci dengan kemasan potongan mesin, dipadankan tayar berukuran 195/60R17.
Pembeli juga boleh memilih pakej aksesori tambahan Z “POWERFUL” yang dipasang oleh pengedar. Pakej tersebut merangkumi kemasan bonet hitam, hiasan sudut bampar hadapan, kemasan sisi pintu serta pelindung bawah badan berwarna gunmetallic.
Selain edisi khas itu, Toyota turut memperkemas kelengkapan keselamatan dan keselesaan bagi keseluruhan rangkaian Raize.

Antara penambahbaikan utama ialah sistem Smart Assist yang kini mempunyai keupayaan mengesan kenderaan dari arah bertentangan ketika pemandu membelok ke kanan di persimpangan. Sistem berkenaan juga boleh mengesan pejalan kaki yang melintas ketika kenderaan membelok ke kiri atau kanan.
Kamera undur dan butang kawalan pada stereng kini turut menjadi kelengkapan standard untuk semua varian. Ruang kabin pula menerima grafik baharu pada paparan meter serta penggunaan kemasan gunmetallic menggantikan elemen perak sebelum ini.
Port USB Type-A untuk penumpang belakang turut digantikan dengan USB Type-C, manakala tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas ditawarkan pada varian G dan X pacuan dua roda (2WD).

Toyota turut memperkenalkan empat pilihan warna baharu iaitu Forest Khaki Metallic, Greyish Olive Metallic, Lake Blue Metallic dan Chrome Grey Metallic. Tiga warna pertama juga boleh dipadankan dengan bumbung hitam untuk varian Z.
SPESIFIKASI DAN HARGA TOYOTA RAIZE 2026 (PASARAN JEPUN)
Harga:
- Petrol: ¥1,897,500 hingga ¥2,491,500 (sekitar RM48,700 hingga RM64,000).
- Hibrid: ¥2,399,100 hingga ¥2,560,800 (sekitar RM61,600 hingga RM65,800).
- Z “POWERFUL”: ¥2,286,900 hingga ¥2,615,800 (sekitar RM58,700 hingga RM67,200).
Untuk pasaran Malaysia, Perodua Ativa yang berasaskan model sama mula diperkenalkan pada Mac 2021.
Bagaimanapun, model itu masih belum menerima perubahan besar dari segi reka bentuk luaran, kabin mahupun mekanikal sejak dilancarkan.
Perubahan paling terkini hanya melibatkan penggantian warna Cobalt Blue kepada Coral Blue pada Oktober 2026.



