Buletin

iCAUR MALAYSIA KINI MILIKI 5,000 PEMILIK, TUBUH KOMUNITI RASMI

iCAUR Malaysia mencatat pencapaian baharu apabila berjaya mengumpulkan seramai 5,000 pemilik kenderaan sejak jenama kenderaan elektrik (EV) itu diperkenalkan di pasaran tempatan pada September 2025.

Kejayaan berkenaan mencerminkan penerimaan positif terhadap model SUV elektrik iCAUR yang mengetengahkan reka bentuk berkotak dengan sentuhan retro, sekali gus menarik perhatian pengguna yang mahukan kenderaan dengan penampilan berbeza serta berjiwa lasak.

Bagi meraikan pencapaian itu, iCAUR Malaysia menganjurkan acara 5,000 Miles of Play pada 21 November lalu di Serene and Stellar, Puchong, yang turut menyaksikan penyerahan kenderaan kepada pemilik ke-5,000.

Presiden Eksekutif iCAUR Malaysia, Men Lin Bo berkata, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa keyakinan dan sokongan pelanggan, rakan pengedar serta semua pihak yang bersama-sama membangunkan jenama berkenaan sejak awal kemunculannya.

Menurutnya, iCAUR bukan sekadar mahu menawarkan produk dengan identiti tersendiri, malah berhasrat membina hubungan jangka panjang bersama pelanggan menerusi pelbagai pengalaman sepanjang tempoh pemilikan.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan muzik secara langsung, jamuan makan tengah hari dan cabutan bertuah dalam suasana santai, selari dengan identiti jenama yang membawa slogan Born To Play.

Selain memberi tumpuan kepada jualan, iCAUR Malaysia turut memperluas hubungan sesama pemilik menerusi pelbagai aktiviti komuniti termasuk JB Convoy Drive, Durian Parties Drive dan penyertaan dalam Malaysia CampFest 2026 di Temu Campsite.

Terbaharu, syarikat itu turut memperkenalkan iCAUR Malaysia Official Community sebagai platform rasmi untuk menghimpunkan pemilik iCAUR dari seluruh negara.

Komuniti berkenaan diterajui presidennya, Keem Yap, yang turut membuka ruang kepada kelab pemilik sedia ada, termasuk kumpulan yang ditubuhkan menerusi rangkaian pengedar, untuk menyertai komuniti lebih besar tanpa perlu mengetepikan identiti masing-masing.

Menurut Yap, pengalaman memiliki iCAUR bukan sekadar berkisar tentang pemanduan, sebaliknya turut membuka peluang untuk membina persahabatan dan berkongsi minat bersama pemilik lain.

Dengan pelbagai aktiviti konvoi, perjumpaan dan program gaya hidup dirancang pada masa akan datang, iCAUR Malaysia berharap komuniti rasminya dapat menjadi penghubung utama antara pemilik, sekali gus mengukuhkan semangat Born To Play di luar pengalaman pemanduan.

Google ads
Back to top button