Advertisements
Buletin

HONDA AVANCIER 2027 DIPERKENAL, SUV TIGA BARIS TEMPAT DUDUK DENGAN TEKNOLOGI HIBRID GENERASI BAHARU

Honda memperkenalkan Avancier serba baharu menerusi acara pelancaran global secara dalam talian, sekali gus memperlihatkan hala tuju baharu pengeluar Jepun itu dalam pembangunan kenderaan elektrifikasi.

Diletakkan sebagai SUV keluarga tiga baris tempat duduk paling premium dalam barisan produknya, Avancier 2027 dibangunkan berasaskan falsafah reka bentuk Grand-Journey.

Model ini juga menjadi kenderaan produksi pertama yang menggunakan logo H baharu Honda serta platform modular bersaiz sederhana yang dibangunkan khusus untuk generasi akan datang.

Avancier turut memainkan peranan penting dalam pelan elektrifikasi Honda, apabila menjadi model pertama daripada 15 kenderaan hibrid generasi baharu yang dirancang untuk diperkenalkan di seluruh dunia menjelang Mac 2030.

Model berkenaan dijadualkan memasuki pasaran terpilih di Asia dan Oceania mulai awal 2027, termasuk Thailand, Jepun, China dan Australia. Thailand akan menjadi lokasi pengeluaran bagi versi pemanduan sebelah kanan untuk pasaran eksport.

Dari segi penampilan, Avancier baharu meninggalkan gaya bumbung rendah seperti model terdahulu yang dipasarkan di China. Sebaliknya, ia hadir dengan bentuk badan SUV yang lebih tegak dan berkadar besar bagi menampung konfigurasi tiga baris tempat duduk.

Bahagian hadapan menampilkan lampu utama LED nipis yang digabungkan dengan gril mendatar, manakala pemegang pintu jenis tersembunyi dan spoiler belakang yang kemas memberikan penampilan lebih moden. Lampu belakang LED pula menggunakan rekaan garisan lurus dengan sudut lebih tajam, diserlahkan bersama fender belakang yang lebih menonjol.

Ruang kabin dibangunkan berteraskan konsep MyCabin dengan penekanan terhadap kemasan, keselesaan perjalanan dan suasana mesra penumpang.

Honda menawarkan pilihan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk. Untuk versi enam tempat duduk, barisan kedua dilengkapi kerusi individu jenis captain seats dengan fungsi pemanas, pengudaraan serta perehat kepala bersaiz besar.

Keselesaan penumpang turut ditingkatkan menerusi bumbung kaca panoramik yang memanjang sehingga ke barisan ketiga.

Bahagian kokpit pula menggunakan skrin sentuh utama, paparan meter digital dan paparan head-up, sementara pemilih gear dipindahkan ke bahagian tiang stereng bagi memberikan ruang tambahan pada konsol tengah.

Antara kelengkapan lain termasuk sistem audio premium BOSE dengan 12 pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos, kawalan suara berasaskan bahasa semula jadi serta kemas kini perisian melalui udara (OTA).

Pemilik juga boleh menggunakan fungsi Remote In-Cabin View dan Remote Surround View untuk memantau keadaan dalam kabin serta persekitaran luar kenderaan menerusi telefon pintar ketika kenderaan diparkir.

Dari sudut mekanikal, Avancier menjadi model pertama yang menggunakan sistem hibrid Honda generasi baharu. Sistem dua motor yang menggabungkan operasi siri dan selari itu menerima penambahbaikan pada enjin, unit pemacu serta sistem kawalan bagi meningkatkan kecekapan dan tindak balas pemanduan.

Honda menyasarkan peningkatan kecekapan penggunaan bahan api melebihi 10 peratus berbanding sistem terdahulu, selain menawarkan respons pecutan yang lebih baik.

Satu lagi ciri utama ialah teknologi DualPower eAWD, iaitu sistem pacuan semua roda elektrik yang menggunakan motor berasingan untuk menggerakkan gandar hadapan dan belakang. Pendekatan ini membolehkan pengagihan tork dilakukan secara elektronik tanpa memerlukan aci pemacu mekanikal.

SUV ini turut dilengkapi Motion Management System (MMS), teknologi yang menggunakan kepakaran Honda dalam bidang robotik untuk menyelaraskan kuasa pacuan dan brek ketika mengambil selekoh.

Selain itu, fungsi S+ Shift yang sebelum ini diperkenalkan pada model Prelude dan Civic e:HEV RS turut disertakan bagi menghasilkan simulasi pertukaran gear bertingkat.

Honda juga memperkenalkan pendekatan baharu terhadap ketegaran badan yang membantu mengurangkan berat platform sekitar 90 kilogram.

Dengan Thailand dipilih sebagai hab pengeluaran bagi versi pemanduan sebelah kanan, Avancier mempunyai potensi untuk diperkenalkan di pasaran serantau termasuk Malaysia.

Namun, setakat pengumuman global ini, Honda Malaysia masih belum mengesahkan sebarang perancangan membawa masuk model berkenaan.

Jika direalisasikan, Avancier berpeluang mengisi ruang SUV tiga baris bersaiz lebih besar di atas CR-V.

Google ads
Back to top button