Buletin

HONDA ‘U-TURN’: AFEELA HANYA TINGGAL NAMA…

Impian untuk melihat kereta elektrik berjenama Sony kini rasmi berakhir apabila projek Afeela ditamatkan sepenuhnya, sekali gus menutup tirai kepada usaha sama antara Sony dan Honda.

Melalui pengumuman terbaharu, Sony Honda Mobility mengesahkan bahawa pembangunan serta pelancaran semua model EV di bawah jenama Afeela dihentikan, termasuk sedan Afeela 1 yang sebelum ini dijadualkan memasuki pasaran dalam masa terdekat, serta sebuah SUV susulan yang dirancang sekitar 2028.

Keputusan ini secara tidak langsung membubarkan usaha sama yang ditubuhkan pada 2022, pada asalnya dilihat sebagai gabungan unik antara kepakaran teknologi dan hiburan Sony dengan keupayaan kejuruteraan serta pengeluaran Honda.

Projek ini sebelum ini digambarkan mampu mentakrif semula pengalaman dalam kabin kenderaan, namun gagal direalisasikan hingga ke peringkat produksi.

Punca utama pembatalan ini berpunca daripada perubahan strategi besar-besaran Honda terhadap pelan elektrifikasinya.

Syarikat itu sebelum ini mengambil langkah drastik dengan menghentikan beberapa program EV utama, termasuk Honda 0 Saloon, Honda 0 SUV serta Acura RSX yang disasarkan untuk pasaran Amerika Utara.

Langkah tersebut diambil susulan tekanan kewangan yang dijangka mencecah sekitar 2.5 trilion yen (kira-kira RM74 bilion).

Dalam usaha mengawal kerugian, Honda menarik balik sokongan platform dan teknologi yang sepatutnya menjadi asas kepada model Afeela. Tanpa komponen kritikal ini, projek berkenaan tidak lagi mempunyai hala tuju yang praktikal untuk diteruskan.

Ironinya, pengumuman ini hadir tidak lama selepas pembukaan pusat Afeela Studio dan Delivery Hub di Torrance, California. Pelanggan yang telah membuat tempahan awal untuk Afeela 1 kini akan menerima bayaran balik sepenuhnya.

Untuk rekod, usaha Sony dalam industri automotif bermula dengan prototaip Vision-S 01 pada 2020, diikuti Vision-S 02 pada 2022.

Kerjasama rasmi dengan Honda kemudian dimeterai pada tahun sama, sebelum jenama Afeela diperkenalkan pada 2023 dan versi produksi Afeela 1 dipertontonkan pada 2025.

Walaupun projek ini kini terkubur, masa depan Sony Honda Mobility masih belum ditentukan.

Syarikat itu menyatakan perbincangan lanjut bersama Sony dan Honda akan diteruskan bagi menentukan hala tuju baharu, sama ada teknologi yang dibangunkan boleh dimanfaatkan semula, atau sekadar menjadi satu eksperimen mahal dalam sejarah industri EV.

Google ads
Back to top button