
HONDA CBR400R FOUR E-CLUTCH CONCEPT DEDAH DI JEPUN – LAWAN NINJA ZX-4R?
Baru-baru ini telah berlangsungnya Osaka Motorcycle Show 2026 di Jepun yang menyaksikan Honda mendedahkan model baharu antaranya CBR400 Four E-Clutch Concept.
Untuk rekod, Osaka Motorcycle Show merupakan kluster pertama dari tiga kluster pameran motosikal setiap tahun yang akan diikuti dengan Tokyo Motorcycle Show dan kemudiannya Nagoya Motorcycle Show.
Menariknya, setiap acara menghadirkan pelbagai perkembangan menarik terutamanya melibatkan jenama Big Four dari Jepun.

Honda mencuri tumpuan dunia kali ini dengan mengumumkan CBR400R Four E-Clutch Concept. Projek baharu itu cukup signifikan kerana dengan rasminya Honda menghidupkan semula jentera empat silinder 400cc sudah lama ditinggalkan.
Kawasaki merupakan satu-satunya pengeluar Jepun yang terlebih dahulu mengembalikan nostalgia empat silinder 400cc menerusi Ninja ZX-4R dan penyertaan Honda (meskipun masih berstatus concept) memberi bayangan bahawa segmen ini kembali mendapat permintaan.

Meskipun sekadar concept namun memperkenalkan sistem E-Clutch pada CBR400R Four ini secara tak langsung memberi bayangan bahawa model ini terbuka kepada penunggang baharu dan lama.
Buat masa ini Honda masih belum mendedahkan spesifikasi CBR400R Four ini namun hampir pasti info lebih terperinci akan diumumkan dari semasa ke semasa.
GALERI: HONDA CBR400R FOUR E-CLUTCH CONCEPT















