Buletin

BUNYI ENJIN V12 HONDA RA272 DALAM EV AFEELA!

Sony Honda Mobility Inc. (SHM) mengumumkan kerjasama baharu bersama Honda Racing Corporation (HRC) di bawah inisiatif AFEELA Co-Creation Program.

Program ini merupakan sebuah platform terbuka yang membolehkan pencipta dan rakan kongsi membina pengalaman mobiliti yang lebih peribadi.

Sebagai projek sulung, mereka memperkenalkan tema khas dalam kenderaan yang diinspirasikan daripada jentera lumba ikonik Honda RA272.

Jentera lumba RA272 mencatatkan sejarah kemenangan pertama Honda dalam Kejohanan Dunia Formula Satu FIA pada tahun 1965.

Langkah ini diambil bagi menyatukan warisan sukan permotoran HRC dengan teknologi canggih serta visi kreatif daripada SHM.

Integrasi Rekaan dan Bunyi Ikonik RA272

Melalui kerjamasa kedua-dua syarikat, SHM sedang giat membangunkan tema HRC yang bakal mengubah suasana ruang kabin dan luaran kenderaan.

Apabila fungsi ini diaktifkan, komponen seperti kluster instrumen, lampu ambien, Media Bar, serta paparan skrin utama akan bertukar kepada rekaan yang mengambil inspirasi daripada elemen RA272.

Selain daripada aspek visual, pengalaman pemanduan turut dipertingkatkan melalui AFEELA e-Motor Sound.

Ciri ini berfungsi menghasilkan semula bunyi enjin V12 yang legenda daripada jentera RA272 dan membolehkan pemandu merasai bunyi klasik jentera F1 walaupun sedang memandu sebuah EV.

Pembangunan Teknikal dan Rakaman Audio Realistik

Bagi memastikan kualiti bunyi yang dihasilkan adalah tepat, rakaman bunyi e-Motor telah dilakukan terus daripada jentera RA272 yang masih berfungsi di Mobility Resort Motegi di Tochigi, Jepun.

Proses itu dijalankan dengan kerjasama Polyphony Digital Inc. serta bekas pelumba Honda Works, Hikaru Miyagi.

Pihak SHM sedang memaparkan pratonton audio dan visual peralihan tema tersebut di laman web rasmi mereka.

Pembangunan sistem ini masih diteruskan bagi memastikan bunyi e-Motor tersebut dapat diselaraskan secara masa nyata mengikut input daripada pedal pemecut pemandu.

Makna di Sebalik Evolusi Mobiliti

Menurut Presiden Honda Racing Corporation, Koji Watanabe, jentera RA272 berjaya meraih kemenangan di Grand Prix Mexico hanya setahun selepas Honda menyertai arena F1 pada tahun 1964.

Usaha membawakan semula rekaan dan bunyi RA272 ke dalam AFEELA yang serba moden dilihat sebagai simbolik penting dalam menghubungkan semangat cabaran 60 tahun lalu dengan inovasi masa kini.

Pengerusi dan CEO SHM, Yasuhide Mizuno, turut menyatakan penggabungan DNA sukan permotoran HRC ke dalam nilai teknologi AFEELA bakal mencipta satu bentuk keterujaan mobiliti yang unik.

Melalui program penciptaan bersama, SHM berharap dapat memperluaskan lagi potensi dunia automotif di masa hadapan.

Rangkaian Kuasa

AFEELA 1 dilengkapi  pacuan semua roda (AWD) yang dijana oleh unit motor elektrik berkembar.

Motor elektrik bahagian hadapan menghasilkan kuasa sebanyak 180 kW (245 ps), manakala motor elektrik bahagian belakang turut menjana 180 kW (245 ps).

EV ini menggunakan bateri litium-Ion dengan kapasiti 91 kWj yang menawarkan jarak gerak anggaran EPA sehingga 482 km.

Untuk pengecasan, ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW melalui sambungan NACS Supercharger, manakala pengecasan AC adalah pada kadar 11 kW.

Harga

Harga AFEELA 1 di Amerika Syarikat bermula sekitar AS$89,900 atau bersamaan kira-kira RM352,767.

AFEELA 1

AFEELA Prototype

SHM x HRC

Google ads
Back to top button