Buletin

HYUNDAI LANCAR SUV SEGMEN B CRETA DI MALAYSIA. CBU INDONESIA, VARIAN TUNGGAL, 1.5L NA, 115PS/144NM, BERMULA RM150K

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini melancarkan SUV kompak Hyundai Creta secara rasmi ke pasaran tempatan. Hadir dalam varian tunggal iaitu Plus, Creta akan bersaing dengan SUV segmen B yang lain seperti Honda HR-V, Proton X50, Toyota Corolla Cross dan sebagainya. 

DIimport sepenuhnya dari Indonesia, Creta ditawarkan pada harga bermula RM149,888 (di atas jalan tidak termasuk insurans). 

Creta tampil dengan reka bentuk tersendiri menerusi gril Parametric Jewel yang sama seperti model SUV lebih besar Hyundai Tucson dan Santra Cruz.

Lampu utama diposisikan secara menegak pada bahagian bawah kiri kanan bampar, manakala lampu nyalaan siang (DRL) LED disepadukan dengan kemas pada bampar hadapan yang berwarna hitam berkilat. 

Bahagian belakang pula nampak berbeza dengan rekaan lampu yang agak zibuk, spoiler nipis bersama lampu brek ketiga, lampu kabus dan kemasan hitam serta kelabu pada bahagian bawah bampar. 

Melihat dari arah sisi, karekter sporty Creta diserlahkan melalui arca roda plastik berwarna hitam, rim satu tona bersaiz 17 inci yang dibalut tayar Kumho Solus dan kemasan berwarna kelabu pada bahagian atas bingkai cermin. 

Dari segi saiz, SUV berkenaan mempunyai dimensi 4,315 panjang dan lebar 1,790mm yang menjadikannya lebih besar berbanding Kona serta hampir dengan HR-V. 

Creta dikuasakan oleh enjin empat silinder aspirasi biasa Smartstream bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana 115PS pada  6,300rpm dan tork maksimum 144Nm pada 4,500rpm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT).

Pemandu boleh memilih di antara empat mode pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport dan Smart mengikut keperluan. Ia boleh mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 12 saat dengan pecutan maksimum 170km/j. 

Di ruang kabin, Creta didatangkan dengan panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci, paparan infohibur 8.0 inci bersama ketersambungan Android Auto/Apple CarPlay tanpa wayar, corong pendingin hawa belakang dan brek parkir elektronik. 

Untuk keselamatan pula, ia dilengkapi ciri Hyundai SmartSense yang terdiri daripada Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning, High Beam Assist dan cagak ISOFIX.  

Jentera berkenaan hadir dalam beberapa warna menarik termasuklah merah, putih, hitam, biru dan kelabu. Creta juga hadir dengan pakej jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 300,000km dan servis percuma tiga tahun atau perbatuan 50,000km untuk 150 pelanggan terawal. foto: FB BigWheels Malaysia

GALERI

Google ads
Back to top button