
HYUNDAI KONA EV, 480KM UNTUK SATU CAJ PENUH. BERMULA DARI RM 156K
“Bro EV ni mainan orang kaya, harga semua gi Tel Aviv balik hari”. Tak jugak, dah ada EV harga yang agak mampu milik. Ada BYD Atto 3, Ora Good Cat dan Hyundai Kona EV macam dalam gambar ni
Hyundai Kona EV asalnya platform ICE, ada versi turbo, hybrid dan plug in hybrid. Untuk varian EV, Hyundai buang semua enjin, gear dan tangki petrol dan menggantikannya dengan bateri Lithium ion polymer sebesar 64kWh, inverter dan motor berkuasa 201hp / 395Nm tork
Dan tiba-tiba sahaja Hyundai Kona EV ni menang anugerah Ward Auto untuk kategori EV power transmission bukan sekali, tapi dua kali pada tahun 2019 dan 2020
Wow, EV pun boleh menang awards yang biasa enjin pembakaran dalam biasa menang. Tapi lepas 3 4 kali memandu uji EV dari pelbagai jenama, barulah saya faham berkenaan kelebihan Hyundai Kona EV

Hyundai Kona EV ni underpromised, tapi over delivered.
Hyundai menjanjikan jarak perjalanan dalam ukuran WLTP 480km (470km masa ambil dari Hyundai Ara Damansara) untuk satu pengecasan penuh, tapi Hyundai Kona EV ni senang senang je dapat 493km. (Dikira dari jarak perjalanan dan baki perjalanan yang boleh dibuat dengan kuasa bateri yang ada)
Walaupun dipandu secara biasa dengan halaju antara 100-110km, rasanya penulis boleh mendapat 500km ++ untuk satu caj penuh dengan corak pemanduan sebegini. Rasanya kalau drive dlm 90km/j secara tetap mmg lagi jauh dia pergi
Purata pengunaan tenaga ada sekitar 8.8 km / 1kWh, dan sekali lagi jenama lain hanya mampu merekodkan purata sekitar 5.5km/1kWh.
Brek regeneratif boleh diubah dengan menggunakan paddle shift, boleh ditetapkan dengan radar supaya Hyundai Kona EV mengaktifkan brek regeneratif secara automatik apabila kenderaan lain dikesan di depan, penyaman udara boleh ditetapkan untuk pemandu saja dan kusyen depan ada ventilation bagi mengurangkan kebergantungan pada penyaman udara

Terdapat Paddle shift di belakang stering bagi anda mengubah kekuatan brek regneratif mengikut keselesaan anda. Kalau anda tekan lama lama paddle shift di sebelah kiri, Kona EV boleh berhenti terus sambil mengecaj. Dah macam 1 pedal driving.
Selepas mengecaj sehingga 40% dalam masa 30 minit kat di TNB Electron Tapah, penulis menekan pedal rapat ke lantai bagi membebaskan 395Nm tork. Padu, memang pada tork yang sampai pada tayar. Tau-tau saja anda sudah mencapai halaju maksimum.
Jangankan kereta 1500cc, kereta 2400cc pun belum tentu dapat mengejar Hyundai Kona EV disebabkan pecutan luar biasanya melainkan jika Kona EV sudah mencapai halaju maksimanya yang dihadkan kepada 167km/jam.
Peace of mind? Ya, sebab pusat service Hyundai ada bersepah di bandar-bandar utama. Hyundai bukan jenama yang baru setahun jagung bertapak di Malaysia. Dari segi harga, varian Lite ditawarkan pada harga RM 156,158 dan paling mahal ialah RM 208,348 bagi varian max.

Berikut perbezaan ringkas antara varian Lite dan Max.
Lite – bateri 39.2kWh, motor elektrik 134hp, 395Nm tork dan 305km jarak perjalanan
Max – bateri 64kWh, motor elektrik 201hp, 395Nm tork dan 480km jarak perjalanan
Disebabkan Hyundai Kona ini menggunakan bateri Lithium Ion Polymer, kelebihan bateri ini ialah ia lebih ringan berbanding dengan pesaingnya yang lain. Bagi varian e Max, berat kasar anggaran adalah sekitar 2170kg sahaja. Bila ringan, Kona EV memiliki kelebihan yang bagus di selekoh
Kebiasaannya ialah EV adalah berat berat, dan kesannya ialah anda berebut stering di selekoh. Anda nak masuk ke kiri, EV akan cuba melawan ke kanan. Ini semua disebabkan momentum (berat dan halaju) yang besar. Tapi Kona EV, prestasinya di selekoh cukup sedap.
Ya kalau anda selidik, salah seorang Penasihat Teknikal untuk kumpulan Hyundai ialah Albert Biermann. Albert ni bekas Timbalan Presiden BMW M Division. Ya bukan calang calang orang. Walaupun sudah bersara, Alber masih lagi bertindak sebagai penasihat

Feel pemanduan Kona EV ni sama macam bawak kereta biasa. Adakah Albert Biermann ada mengubah suspensi Hyunda Kona? Penulis Tak tahu dan tiada maklumat. Tapi skatebord platform baru e-GMP yang digunakan oleh Ioniq adalah salah satu hasil kerjanya
Ada 4 mode pemanduan yang disediakan samaada Sport, Normal, ECo dan juga ECO+. Semasa penulis mencuba ECO+, penyaman udara telah dimatikan bagi memaksimakan bateri untuk perjalanan. Hyundai Kona adalah satu-satunya EV yang jarak perjalanan boleh bertambah ketika dipandu dengan memaksimakan brek regeneratif.
Dari segi keselesaan, Kona EV memang selesa dengan tipikal sebuah EV yang tiada enjin dan gear. Hanya sesekali bunyi deruan motor elektrik kenyaringan tinggi masuk dalam telinga. Eh sedap pulak bunyi motor elektrik ini.
Yang tak best ialah tayar, disebabkan Hyundai Kona EV menggunakan tayar cap ayam. Atas permukaan jalan basah, tayar ini boleh berkokok dalam Sport Mode. Jika dipandu dengan halaju 110km/jam ke atas, bising jugak la bunyi tayar. Kalau ini kereta penulis, sudah lama tayar premium jadi pilihan

Dari sudut sistem keselamatan, Hyundai SmartSense pun power. Bayangkan garisan kabur kabur atas permukaan jalan dalam cuaca hujan pun boleh dikesan oleh sistem ini. Amaran Titik Buta bukan setakat bagi amaran, tapi akan membrek kalau kita masuk ke lorong sebelah
Sistem Adaptive Cruise Control lengkap dengan ciri Stop n Go dalam kesasakan jalan, rear occupant alert bagi memberi amaran jika tertinggal anak di barisan belakang dan juga sistem amaran kalau kita membuka yang boleh menyebabkan pintu kereta dilanggar dari arah belakang
Dengan jarak antara roda yang mencapai 2600mm ruang dalaman Kona EV adalah biasa biasa sahaja. Tambahan pula ruang lantai perlu dicuri sedikit untuk ruang bateri menjadikan ruang kaki terasa cetek Ruang kargo pula adalah sekitar 332 liter sahaja, dan menjadi 1180 liter sekiranya kusyen barisan dilipat
Sekiranya penulis selalu memandu di lebuh raya utara selatan, penulis tiada masalah untuk menjadikan Hyundai Kona EV sebagai kenderaan utama. Dengan harga yang ditawarkan, jarak perjalanan yang menarik dan kuasa yang mengiurkan serta sokongan pusat servis yang merata tempat Hyundai Kona adalah pilihan kereta elektrik yang menarik JIKA anda boleh menerima rupa luarannya.


