Buletin

HYUNDAI PANGGIL SEMULA ELANTRA GEN-4. SISTEM BREK ABS BERISIKO TERBAKAR

Hyundai akan memanggil semula sedan Elantra generasi keempat di Amerika Syarikat di bawah pemantauan Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan (NHTSA).

Panggilan tersebut melibatkan model Elantra buatan tahun 2006-2011 dan Elantra Touring bagi tahun 2007-2011. Sedan itu didakwa berdepan risiko terbakar kerana litar pintas akibat masalah pada sistem brek ABS.

Penyelidik memberitahu modul sistem brek anti-kunci itu akan tetap menyalurkan arus elektrik walaupun selepas kenderaan dimatikan. Maka, jika litar elektrik lembab, litar pintas mungkin akan berlaku.

Kerosakan komponen yang dihasilkan oleh Hyundai Mobis di Korea Selatan itu menjejaskan 429,686 unit Elantra.  

Untuk membaikinya, juruteknik akan memasang alat ganti baharu yang berfungsi memotong arus elektrik ABS apabila suis pencucuh dimatikan.

Walaupun model tersebut telah dihentikan pengeluarannya, Hyundai akan membayar semula kos pembaikan yang dibuat oleh pelanggan.

Pemilik kereta tersebut akan dimaklumkan secara rasmi bermula pada awal April depan.

Google ads
Back to top button