Pandu Uji

HYUNDAI SANTA FE 2.2 CRDi EXECUTIVE SE, SUV 7 TEMPAT DUDUK YANG SELESA

Jenama Hyundai rasanya kurang popular di pasaran Asia Tenggara melainkan di Vietnam walaupun jenama dari Korea ini sudah lama bertapak kukuh di rantau ini. Paling mengagumkan ialah Hyundai merupakan antara jenama dari Asia yang mampu menggegarkan pasaran Amerika dan menjadi default choice di kebanyakan negara Asia Barat seperti Arab Saudi.

Ketika cuba memasuki pasaran Amerika, pada mulanya jenama Hyundai adalah bahan lawak untuk pasaran automotif. Namun pada tahun 2021 Hyundai menjual sekitar 727,000 unit kenderaan di Amerika dengan kedudukan no di sana. Jadi tidak hairanlah kebanyakan model yang dijual diletakkan dengan nama bandar Amerika

Sebagai contoh Hyundai Santa Fe yang kami uji baru-baru ini sebenarnya dinamakan sempena nama sebuah bandar di Amerika. Hyundai mula memasuki pasaran Amerika dengan model SUV semenjak tahun 2001 lagi selepas menyedari perubahan kehendak pelanggan yang mahukan SUV sebagai kenderaan utama.

Hyundai Santa Fe yang kami uji kali ini sebenarnya sudah memasuki generasi ke 4 semenjak ia dilancarkan pada tahun 2001. Sebenarnya ia sudah dilancarkan pada tahun 2018 di peringkat global dan mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2019. Malangnya COVID19 merencatkan perancangan menyebabkan ia hanya dipandu uji oleh kami pada tahun ini

Ketika diperkenalkan dulu, Hyundai Sime Darby memberikan 4 pilihan samaada 2.4 Petrol Executive, 2.4 Petrol Premium, 2.2 CRDi Executive dan juga 2.2 CRDi Premium. Trenkuasa bagi petrol dan turbodiesel juga berbeza dengan varian petrol diberikan pacuan tayar depan (FWD) manakala varian turbo diesel ditawarkan dengan trenkuasa pacuan semua roda (AWD)

Bagi tahun 2022, 2 varian baru ditambah pada barisan model turbodiesel iaitu 2.2 Executive Plus SE (RM 196,888) dan 2.2 Executive Plus SE (RM 215,888) dengan pacuan roda depan sahaja. Bagi penulis langkah ini adalah bijak kerana tak semua pengguna mahukan pacuan semua roda yang kompleks dan menggunakan bahan api yang lebih banyak.

Bagi model 2.2 CRDi Executive SE yang diuji oleh kami, rekaan luar masih sama dengan rekaan versi tahun 2019 dengan pengenalan konsep Cascading Grille yang baru. Perubahan terbesar mestilah pada kedudukan lampu utama yang diletakkan di bampar depan manakala position light dengan LED diletakkan di bahagian atas

Rekaan sebegini sebenarnya menghasilkan satu sleek design bagi sebuah SUV besar gedabak dengan imej seolah-olah ia sebuah SUV yang kompak daripada pasukan Peter Schereyer. Tapi sayangnya ia masih mengekalkan enjin 2.2 Turbodiesel R 4 silinder yang menghasilkan 199 kuasa kuda dan 440Nm seawal 1750 RPM bukannya enjin 2.2 SmartStream yang digunakan oleh Kia Grand Carnival

Berbeza dengan enjin SmartStream yang dihasilkan dengan menggunakan aluminium aloi, enjin 2.2 CRDi ini dihasilkan dengan menggunakan cast iron yang lebih berat. Semua kuasa akan dihantar ke roda depan menerusi transmisi 8 kelajuan automatik

Dari segi saiz luaran, Hyundai Santa Fe generasi ke empat ini bertambah besar berbanding dengan generasi ke toga disebabkan ia perlu memuatkan sebaris lagi ruang tempat duduk di barisan ke 3. Panjang keseluruhan Santa Fe menjadi 4770mm, manakala lebar pula ialah 1890mm. Jarak antara roda pula bertambah kepada 2765mm

Tapi disebabkan rekaan depan yang bijak, memang tak nampak sangat Santa Fe ini memang besar dan pandai menyembunyikan saiznya yang sebenar. Bagi varian ini ia menggunakan rim bersaiz 18 inci, diberikan rel bumbung dan lampu lopak air pada cermin sisi

Berikut ialah penawaran ciri-ciri yang diberikan oleh Hyundai Santa Fe 2.2 CRDi Exceutive SE:

1. Disebabkan varian yang diuji ialah varian terendah, maka pintu ruang kargo adalah bukaan manual bukannya power tailgate. Namun lampu di bahagian belakang menggunakan lampu LED dengan lampu isyarat diletakkan di bahagian bampar

2. Untuk lampu depan, ia menggunakan lampu halogen dengan projektor bukannya LED. Ini termasuklah lampu tinggi dan lampu kabus. Hanya position light yang bertindak sebagai DRL menggunakan LED

3. Ruang kargo ialah di bawah 200 liter jika semua tempat duduk digunakan. Jika kusyen barisan ke tiga dilipat, ia menawarkan ruang sebesar 547 liter dan menjadi 1649 liter jika kusyen barisan kedua dilipat.

4. Untuk penumpang barisan ke tiga, anda mendapat 2 corong penyaman udara khas beserta suis untuk mengawal suhu dan kelajuan angin. Selain itu terdapat lampu kabin di bahagian atas syiling, suis untuk melipat kusyen barisan ke dua dan juga soket 12 volt.

5. Cara paling mudah untuk masuk ke barisan ke tiga ialah melalui pintu kiri kerana ada suis elektrik yang bila ditekan akan menyebabkan kusyen barisan kedua bergerak ke depan dan terlipat secara automatik bagi memudahkan anda masuk. Sayangnya bukan kusyen adalah kecil sedikit pada pendapat penulis

Anda boleh duduk dengan selesa jika kusyen barisan kedua ditolak ke depan. Ia menyediakanruang yang cukup untuk penumpang barisan kedua dan ketiga. Cuma seperti biasa kaki penumpang barisan ke tiga akan tergantung sedikit

6. Penumpang basrisan kedua ada disediakan 2 corong penyaman udara, 2 poin USB untuk mengecas telefon, perehat tangan jika tempat duduk di bahagian di tengah tidak digunakan. Cermin di bahagian bumbung jika dibuka memang sangat menarik dan menjadikan kabin terasa lebih luas

7. Rekaan papan pemuka Santa Fe pernah mendapat anugerah Ward Best Interior 2019 bagi pasaran US ditawarkan dengan rekaan serta ciri ergonomic yang bagus. Sokongan pada bahagian atas dan bawah badan memang cukup dan tidak menyebabkan anda terasa penat bila memandu jarak jauh

Unit multimedia bersaiz 7 inci boleh disambungka ke peranti pintar anda samaada melalui Apple Car Play atau Android Auto dengan menggunakan wayar. Kualiti bunyi yang dihasilkan oleh pembesar suara boleh tahan sedap dengan corak pada permukaan pembesar suara yang sangat unik

Varian ini tidak diberikan ciri pengecas tanpa wayar tapi anda masih mendapat 2 poin USB untuk penumpang depan dan 1 lagi soket 12 volt.

Pemerhatian terhadap pemanduan Santa Fe adalah seperti berikut:

8. Dengan berat mencecah 2000kg dan saiz yang besar, isu pengendalian, brek dan juga memandu di laluan yang sempit adalah kriteria yang selalu ditekan oleh penulis. Dari segi pecutan, 440Nm tork yang masuk seawal 1750 RPM memang sangat membantu.

Anda tak perlu gunakan penukar gear shiftronic. Malah pada halaju 120km/jam, bacaan RPM enjin berlegar sekitar 1800 RPM sahaja. Jika anda kekal pada kelajuan ini, bacaan bahan api ialah sekitar 15km/liter

Tapi jika anda ingin memecut, Santa Fe boleh pergi dengan cepat dan pada masa yang sama cepat meneguk diesel dengan laju. Walaupun laju, anda masih boleh kekal yakin dengan kestabilan Santa Fe

9. Melainkan anda perlu memasuki selekoh di mana bahagian depan enjin adalah berat dan menjadikan pengendalian Santa Fe di selekoh agak tumpul. Anda boleh rasa berat enjin diesel ini cuba melawan anda sewaktu mengambil selekoh. Isu ini tidak ada pada Kia Grand Carnival yang menggunakan enjin 2.2 SmartStream

10. Santa Fe menggunakan Topang McPherson di roda depan dan MultiLink di roda belakang, namun sekali lagi isu berat enjin 2.2 CRDi ini menjadikan ia kurang seronok sewaktu melompat di laluan tidak rata

11. Kuasa membrek yang ditawarkan oleh Santa Fe adalah mencukupi, tapi sayangnya ia tidak dipadankan dengan ciri Advanced Driving Safety Assist yang terkini. Tiada ciri Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan juga brek kecemasan automatik disediakan bagi varian ini

Dengan harga RM 196,888 Santa Fe 2.2 Executive Plus SE menawarkan pilihan SUV 7 tempat duduk yang besar selain Volkswagen Tiguan Allspace dan juga Mazda CX-8. Tapi anda perlu menerima kenyataan bahawa unit turbodiesel ini kadangkala ada bunyi dan getaran yang tidak dihasilkan oleh enjin petrol

Kalau anda boleh menerima hakikat tersebut, maka anda boleh menggunakan enjin turbodiesel yang menjana 199 kuasa kuda dan 440Nm ini dengan mudah.

Google ads
"
"
Back to top button