
ANAK GAJAH MATI DIREMPUH PERODUA VIVA DI SANDAKAN
Seekor anak gajah mati selepas dilanggar sebuah Perodua Viva dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Lahad Datu-Sandakan, awal pagi tadi. Dalam kejadian jam 2.16 pagi itu, anak gajah berkenaan mati di lokasi kejadian.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Sylverter Saimin berkata, anak gajah berkenaan dikatakan sedang melintas jalan.
“Akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta Perodua Viva tidak dapat mengelak lalu melanggar anak gajah berkenaan.
“Kakitangan JHL Lahad Datu sudah melakukan bedah siasat kemudian menanam bangkai anak gajah berkenaan, hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Pemandu Perodua Viva seorang lelaki tempatan tidak mengalami kecederaan. Tetapi kereta berwarna putih itu mengalamai kerosakan yang agak teruk pada bahagian hadapannya. – Berita Harian