Buletin

ICAUR KINI ANTARA TIGA JENAMA EV TERATAS MALAYSIA, TAWAR JAMINAN LEBIH MENYELURUH

iCAUR Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan apabila berjaya muncul sebagai antara tiga jenama EV paling popular di negara ini dengan lebih 3,000 unit sudah berada di jalan raya dalam tempoh kurang setahun selepas diperkenalkan di Malaysia.

Momentum tersebut turut diperkukuh apabila model V23 diiktiraf sebagai EV bukan nasional paling popular bagi Mei 2026, sekali gus mencerminkan penerimaan positif pengguna tempatan terhadap jenama itu.

Kejayaan berkenaan banyak dipacu oleh identiti reka bentuk Boxy Retro Classic yang menjadi taruhan iCAUR menerusi model iCAUR 03 dan V23.

Pendekatan yang menggabungkan elemen lasak berinspirasikan gaya retro bersama teknologi elektrik moden itu dilihat berjaya menarik perhatian pengguna yang mahukan EV dengan karakter tersendiri serta lebih versatil untuk kegunaan harian.

Mengambil kira sokongan berterusan pelanggan, iCAUR Malaysia turut mengumumkan peningkatan perlindungan jaminan untuk semua unit yang didaftarkan sepanjang tahun 2026.

Melalui penambahbaikan itu, pemilik kini menikmati jaminan selama 10 tahun atau 200,000 kilometer bagi bateri kuasa, unit pacuan serta komponen voltan tinggi.

Selain itu, jaminan kenderaan selama tujuh tahun turut dikekalkan bersama perlindungan komprehensif sedia ada.

Langkah berkenaan dilihat mampu memberikan keyakinan tambahan kepada pemilik EV, khususnya berkaitan ketahanan bateri, kebolehpercayaan sistem pacuan serta kos penyelenggaraan komponen voltan tinggi yang lazimnya menjadi kebimbangan pengguna.

Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin berkata, sambutan yang diterima membuktikan pengguna tempatan kini semakin terbuka terhadap EV yang menawarkan gabungan reka bentuk unik, teknologi moden dan pengalaman pemanduan berbeza.

Menurutnya, kepercayaan pengguna menjadi pemangkin untuk syarikat terus memperkukuh pengalaman pemilikan pelanggan termasuk dari aspek jaminan, rangkaian pengedar dan sokongan selepas jualan.

“Kami melihat rakyat Malaysia mahukan EV yang bukan sahaja moden, tetapi juga mempunyai identiti dan keupayaan tersendiri. Sambutan yang diterima memberi keyakinan kepada kami untuk terus melabur dalam pembangunan jenama dan pengalaman pemilikan pelanggan di Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan sama, iCAUR turut memperluaskan rangkaian operasinya menerusi kerjasama strategik bersama rakan pengedar di seluruh negara.

Pada 15 Mei lalu, syarikat itu membuka bilik pameran butik pertama di Pavilion Bukit Jalil menerusi kerjasama dengan Rover Drive Sdn Bhd, sekali gus membawa pengalaman jenama iCAUR ke persekitaran peruncitan premium.

Beberapa hari kemudian, pada 20 Mei 2026, iCAUR melancarkan pusat jualan lengkap ke-15 di Seremban yang dikendalikan oleh NexV Synergy Sdn Bhd bagi memperluaskan akses pengguna di luar Lembah Klang.

Ketika ini, iCAUR mempunyai 21 pusat jualan aktif di seluruh Malaysia dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada 30 pusat menjelang penghujung tahun ini.

Pengembangan tersebut turut disokong dengan pembukaan lebih banyak pusat servis berkapasiti tinggi bagi memastikan pemilik iCAUR menikmati kemudahan sokongan selepas jualan yang lebih menyeluruh dan mudah diakses.

Pemilik berdaftar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perlindungan jaminan baharu itu boleh mengunjungi pengedar sah iCAUR berhampiran untuk penerangan lebih terperinci.

Google ads
Back to top button