
SMART #2 KONSEP DIDEDAHKAN, TAWAR JARAK GERAK HAMPIR 300KM
Smart memperkenalkan secara rasmi kerangka konsep Smart #2 di Eropah menerusi satu acara eksklusif di Rome, sekali gus memberi gambaran awal terhadap hala tuju model produksi baharu jenama itu pada masa depan.
Kenderaan elektrik kompak dua tempat duduk itu hadir sebagai kesinambungan evolusi model bandar premium Smart selepas fasa pratonton yang diperkenalkan awal tahun ini.
Model konsep berkenaan dibangunkan menggunakan platform Electric Compact Architecture (ECA) yang direka khas untuk mengembalikan semula kecekapan ruang seperti model ikonik Fortwo sebelum ini.
Rekaan luaran menampilkan permukaan badan lebih bersih bersama elemen moden seperti pintu tanpa bingkai dan kemasan dua tona yang menyerlahkan identiti urban futuristik.

Dari sudut teknikal, Smart #2 Concept menggunakan pek bateri 35.7kWh yang disepadukan ke dalam casis utama. Sistem itu dikatakan mampu menawarkan jarak perjalanan hampir 300 kilometer mengikut standard WLTP.
Bagi kegunaan harian di bandar, sistem pengecasan pantas DC membolehkan tahap bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh sekitar 20 minit. Bagaimanapun, angka prestasi akhir masih tertakluk kepada proses homologasi sebelum model produksi dilancarkan secara rasmi.
Smart turut menekankan bahawa pembangunan model ini bukan hanya tertumpu kepada pemanduan dalam kawasan metropolitan, sebaliknya direka untuk memenuhi keperluan perjalanan lebih jauh dengan keseimbangan antara keselamatan voltan tinggi dan praktikaliti penggunaan harian.
Ruang kabin pula dibangunkan oleh pasukan reka bentuk global Mercedes-Benz dengan pendekatan minimalis.

Bahagian dalaman menggunakan rekaan tempat duduk bangku berterusan tanpa konsol tengah tradisional bagi memaksimumkan ruang dalam dimensi badan yang kompak.
Susun atur kokpit berbentuk ‘S’ direka untuk meningkatkan ergonomik pemandu, manakala penggunaan overhang badan yang pendek membantu memperluaskan ruang kabin.
Sistem stereng yang dioptimumkan turut membolehkan radius pusingan sekitar 6.95 meter, menyamai tahap kelincahan model dua tempat duduk premium generasi terdahulu.
Aspek keselamatan diperkukuhkan menerusi penggunaan struktur Tridion Cell generasi baharu yang dibangunkan bagi memenuhi standard perlindungan moden.
Smart, yang merupakan kerjasama antara Mercedes-Benz dan Geely, dijangka memperkenalkan versi produksi model ini secara rasmi pada Paris Motor Show Oktober depan sebelum memasuki pasaran global.



