
OMODA | JAECOO PERKENAL GEN-O MALAYSIA, PLATFORM BAHARU PEMILIK OMODA
OMODA | JAECOO Malaysia memperkenalkan GEN-O Malaysia, sebuah komuniti gaya hidup khas yang diwujudkan untuk menghimpunkan pemilik semasa dan bakal pemilik OMODA menerusi pengalaman eksklusif, aktiviti komuniti serta perkongsian minat.
Pelancaran platform itu hadir seiring pertumbuhan portfolio model dan jumlah pelanggan jenama berkenaan di Malaysia, termasuk model seperti OMODA C9 dan OMODA C9 PHEV, selain ketibaan model baharu OMODA C7 dalam masa terdekat.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, GEN-O diwujudkan sebagai platform untuk pemilik OMODA berhubung, membina persahabatan dan berkongsi pengalaman yang mencerminkan identiti jenama tersebut.
Menurutnya, Chery Corporate Malaysia bukan sahaja mahu menawarkan kenderaan berkualiti, malah memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh dan bermakna.

“Tidak kira sama ada pelanggan memandu model OMODA, JAECOO atau CHERY, kami mahu memastikan perjalanan pemilikan mereka dipenuhi keyakinan, ketenangan dan pengalaman yang sukar dilupakan,” katanya.
Beliau berkata, pengguna moden kini semakin mencari pengalaman dan komuniti yang selari dengan gaya hidup serta aspirasi mereka, sekali gus mendorong syarikat memperkukuhkan hubungan jangka panjang bersama pelanggan.
Ketua OMODA | JAECOO Malaysia, Chris Tan berkata, setiap model di bawah jenama itu mempunyai identiti tersendiri, dengan OMODA tampil menerusi rekaan futuristik, prestasi moden dan ciri teknologi terkini.
Katanya, GEN-O diperkenalkan sebagai platform gaya hidup yang menawarkan pengalaman terpilih untuk memenuhi aspirasi pelanggan selain memastikan mereka terus mendapat sokongan sepanjang tempoh pemilikan.

GEN-O bukan sekadar komuniti pemilik biasa, sebaliknya dibangunkan sebagai ekosistem gaya hidup yang menumpukan kepada elemen kreativiti, ekspresi diri, budaya dan fesyen.
Nama OMODA sendiri diinspirasikan daripada gabungan perkataan “O” yang membawa maksud oksigen dan “MODA” yang merujuk kepada fesyen moden, sekali gus mencerminkan identiti jenama yang dekat dengan generasi muda.
Majlis pelancaran GEN-O pada 20 Jun lalu menghimpunkan lebih 250 tetamu bersama kira-kira 135 kenderaan OMODA | JAECOO, sekali gus memperlihatkan perkembangan komuniti pemilik jenama itu di Malaysia.
Menerusi platform berkenaan, ahli bakal menikmati jemputan ke acara eksklusif, kerjasama gaya hidup, aktiviti komuniti serta pelbagai pengalaman khas yang dirangka untuk memperkayakan pengalaman pemilikan mereka.
Acara itu turut dimeriahkan dengan permainan interaktif bertemakan bola sepak bagi memberi pengalaman lebih menarik kepada para tetamu sempena kemeriahan kejohanan bola sepak global musim panas ini.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan robot humanoid AIMOGA yang memperlihatkan visi OMODA terhadap masa depan mobiliti pintar menerusi gabungan kecerdasan buatan dan interaksi manusia-mesin.
Selain pelancaran komuniti tersebut, ahli GEN-O turut diberi peluang melihat secara eksklusif model baharu OMODA C7 yang dijadual memasuki pasaran Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.
SUV itu direka untuk pelanggan generasi baharu yang mementingkan gaya dan teknologi, dengan mengetengahkan bahasa rekaan berani menerusi gril parametrik, lampu LED moden dan identiti pencahayaan heksagon bercahaya yang futuristik.
OMODA | JAECOO Malaysia berkata, GEN-O akan terus berkembang sebagai platform yang menghubungkan pelanggan dengan pelbagai acara, kolaborasi jenama serta aktiviti budaya dan gaya hidup seiring pertumbuhan keluarga OMODA di negara ini.




