Buletin

INOKOM PERLUAS KEUPAYAAN, PERKASA EKOSISTEM AUTOMOTIF NEGARA

Inokom Corporation Sdn Bhd terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara syarikat pemasangan automotif kontrak utama negara selepas hampir tiga dekad beroperasi dalam industri automotif Malaysia.

Beroperasi di tapak seluas 200 ekar di Kulim, Kedah dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Inokom kini menjadi antara tonggak penting perniagaan automotif Sime Darby Berhad menerusi penglibatan aktif dalam pemasangan pelbagai jenama automotif antarabangsa.

Ketika ini, syarikat berkenaan mengendalikan pemasangan kenderaan untuk enam jenama global membabitkan pengeluar dari Jerman, Jepun, Korea Selatan dan China termasuk BMW, MINI, Porsche, Mazda, Hyundai serta Chery.

Operasi tersebut bukan sahaja memenuhi permintaan pasaran tempatan, malah turut menyokong eksport ke beberapa negara ASEAN.

Kemudahan Inokom merangkumi fasiliti kimpalan badan kenderaan, cat, pemasangan dan gudang berpusat yang disokong lebih 2,700 tenaga kerja mahir tempatan sepenuhnya. Kapasiti pengeluaran juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila jumlah pengeluaran melonjak daripada 20,500 unit pada 2021 kepada lebih 31,800 unit pada tahun lalu.

Sepanjang tempoh sama, syarikat itu turut mengeksport lebih 24,500 unit kenderaan ke pasaran serantau sekali gus menjadikannya antara pengeksport automotif terbesar di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Dato’ Jeffri Salim Davidson berkata, pencapaian Inokom membuktikan Malaysia memiliki kemampuan tinggi dalam sektor pembuatan automotif bertaraf global.

Menurut beliau, kepercayaan berterusan daripada jenama automotif antarabangsa mencerminkan kekuatan industri bernilai tinggi yang berjaya dibangunkan dalam negara selari dengan aspirasi agenda GEAR-uP kerajaan.

“Inokom menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan besar dalam industri automotif moden dan kompetitif. Kami akan terus memperkukuh kepakaran tempatan serta meningkatkan daya saing negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sejarah kerjasama Inokom bersama pengeluar global bermula sejak awal 1990-an apabila Hyundai memilih syarikat itu sebagai rakan pemasangan. Operasi kemudian diperluaskan kepada kenderaan komersial dan penumpang termasuk model Hyundai Porter dan Atos.

Mazda pula menjadi antara rakan strategik paling lama bersama Inokom apabila pelancaran Mazda3 pemasangan tempatan pada 2012 menjadikan fasiliti tersebut satu-satunya pusat pemasangan lengkap model berkenaan di ASEAN ketika itu.

Pada 2021, Porsche turut memilih Inokom sebagai fasiliti pemasangan pertamanya di luar Eropah, sekali gus memperlihatkan keyakinan pengeluar premium itu terhadap piawaian pembuatan Malaysia. Operasi itu kemudian diperluaskan bagi tujuan eksport ke Thailand bermula 2024.

Kemunculan Chery sebagai rakan pemasangan pada 2023 pula membuka lembaran baharu buat Inokom dalam segmen kenderaan elektrik apabila model Omoda E5 menjadi EV pertama dipasang di fasiliti tersebut.

Dalam masa sama, Inokom turut menempatkan kilang pemasangan enjin BMW Group yang kini menjadi antara kemudahan pemasangan enjin BMW terbesar di dunia. Sejak 2018, lebih 11,800 unit BMW dan MINI yang dipasang di Kulim telah dieksport ke Thailand dan Filipina.

Tahun ini turut menyaksikan BMW i5 eDrive40 M Sport yang dipasang di Inokom mencipta sejarah sebagai model BMW elektrik sepenuhnya pertama dipasang di rantau Asia Pasifik.

Beroperasi menerusi konsep “Plant-within-a-Plant”, setiap jenama mempunyai barisan pengeluaran tersendiri mengikut piawaian teknikal dan kualiti masing-masing.

Inokom juga memiliki pelbagai pensijilan antarabangsa berkaitan pengurusan kualiti, keselamatan dan alam sekitar selain menerima beberapa pengiktirafan industri sepanjang operasinya.

Selain fokus kepada pengeluaran, Inokom turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh rantaian bekalan automotif tempatan menerusi penglibatan kira-kira 370 vendor termasuk syarikat bumiputera dalam ekosistem globalnya.

Syarikat itu juga memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan melalui pelbagai program latihan berkaitan teknologi automotif, sistem elektrik, diagnostik serta pembangunan kepimpinan.

Mengulas hala tuju masa depan, Jeffri berkata Inokom akan terus meningkatkan pelaburan dalam teknologi dan pembangunan tenaga kerja bagi memastikan syarikat kekal relevan dalam landskap automotif yang semakin pantas berubah.

Beliau berkata, pembukaan fasiliti cat baharu yang lebih moden dijangka memperkukuh lagi kapasiti operasi syarikat sambil mengangkat keupayaan industri automotif Malaysia ke tahap lebih tinggi di peringkat global.

“Inokom bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif negara, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pembangunan kemahiran bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Google ads
Back to top button