
ENJIN 6 SILINDER SEBARIS TAK PERFECT. TAPI B58 CONTOH TERBAIK
Enjin enam silinder sebaris atau inline-six (I6) sering dianggap sebagai antara konfigurasi enjin yang paling seimbang dari segi operasi dan tahap kelancaran. Susunan enam silinder dalam satu barisan membolehkan daya inersia primer dan sekunder saling mengimbangi secara semula jadi tanpa memerlukan aci pengimbang tambahan (balance shaft), sekali gus menghasilkan putaran yang lebih halus berbanding kebanyakan konfigurasi enjin lain.
Tetapi di sebalik kelebihan tersebut, reka bentuk enjin enam silinder sebaris juga mempunyai beberapa kelemahan yang telah lama menjadi cabaran kepada jurutera automotif. Namun kemajuan teknologi dalam pembangunan enjin moden telah berjaya mengurangkan sebahagian besar masalah ini.
Salah satu kelemahan utama enjin enam silinder sebaris ialah dimensinya yang terlalu panjang. Berbanding enjin V6 yang lebih padat, semua enam silinder pada enjin I6 disusun dalam satu garis lurus menyebabkan keseluruhan blok enjin menjadi lebih panjang.
Faktor ini menyukarkan pemasangan pada kenderaan pacuan roda hadapan (FWD) kerana ruang dalam ruang enjin tidak mencukupi. Ini menyebabkan pengeluar memilih untuk menggunakan enjin enam silinder sebaris pada model pacuan roda belakang (RWD) atau pacuan semua roda (AWD) yang dipasang secara membujur (longitudinal).

Enjin yang terlampau panjang juga menyukarkan jurutera menghasilkan zon remuk yang bertindak menyerap tenaga ketika kemalangan berlaku. Malah jika dibandingkan dengan enjin V6, enjin I6 datang dengan pusat graviti yang lebih tinggi.
Selain isu pembungkusan (packaging), panjang blok enjin juga menyebabkan komponen seperti crankshaft dan camshaft menjadi lebih panjang. Aci engkol yang panjang lebih mudah mengalami fenomena torsional vibration atau getaran kilasan apabila menerima tekanan tinggi daripada proses pembakaran, terutama ketika enjin beroperasi pada RPM tinggi.
Jika tidak dikawal, keadaan ini boleh menjejaskan ketepatan operasi enjin dan meningkatkan tahap getaran. Bagi mengatasi masalah ini, jurutera biasa memasang Torsional Vibration Damper untuk mengurangkan kesan getaran. Kajian SAE juga mendapati jika saiz diameter silinder melebihi 90mm, masalah ini akan menjadi semakin serius dan memerlukan langkah tambahan

Enjin-enjin enam silinder sebaris generasi lama turut berdepan masalah agihan udara dan bahan api yang kurang sekata antara setiap silinder. Reka bentuk intake manifold yang panjang menyebabkan silinder tertentu menerima jumlah udara yang sedikit berbeza berbanding silinder lain, sekali gus menghasilkan pembakaran yang tidak seragam dan prestasi yang kurang optimum.
Kajian dari SAE juga mendapati masalah ini boleh menyebabkan perbezaan kuasa yang dihasilkan antara silinder sehingga 38% bagi enjin 6 silinder sebaris yang lama, dan masalah ini berkait rapat dengan tetapan valve closing serta reka bentuk intake runner
Ada juga beberapa contoh enjin 6 silinder sebaris yang lama dihasilkan oleh Mazda dan BMW yang menggunakan rantai pemasaan injap direka dengan kedudukan komponen ini rapat dengan firewall enjin, menjadikan proses penukaran rantai pemasaan sangat sukar dan memakan masa yang lama. Keadaan ini menjadikan kos penyelenggaraan meningkat dengan ketara
Walau bagaimanapun, perkembangan teknologi automotif moden telah mengubah keadaan ini dengan ketara. Antara contoh terbaik ialah enjin BMW B58, iaitu enjin 3.0 liter turbo enam silinder sebaris yang diperkenalkan sejak 2015 dan kini digunakan pada pelbagai model BMW, BMW M serta Toyota GR Supra.

Pada enjin B58, sistem intake manifold dibangunkan menggunakan simulasi aliran udara berasaskan komputer atau Computational Fluid Dynamics (CFD) bagi memastikan setiap silinder menerima aliran udara yang hampir sama. Kehadiran turbocharger juga membantu menghasilkan tekanan udara yang lebih konsisten di dalam manifold, sekali gus mengurangkan ketidakseimbangan yang pernah menjadi isu pada enjin generasi terdahulu.
Selain itu, penggunaan sistem suntikan bahan api terus (high-pressure direct injection) membolehkan ECU mengawal jumlah bahan api yang disuntik ke setiap silinder dengan sangat tepat. Data daripada pelbagai sensor seperti sensor oksigen dan knock sensor diproses secara masa nyata bagi memastikan nisbah udara dan bahan api sentiasa berada pada tahap optimum, sekali gus menghasilkan pembakaran yang lebih sekata.
Keadaan ini jauh berbeza daripada enjin 6 silinder lama yang bergantung sepenuhnya kepada sistem karburetor mekanikal yang tidak tepat. Berbeza dengan sistem karburetor, enjin moden boleh mengesan mana-mana silinder yang terlalu “lean” atau “rich” dalam masa nyata dan mengubah pembakaran dengan cepat.
Teknologi kawalan injap berubah seperti Double VANOS dan Valvetronic yang digunakan BMW turut memainkan peranan penting. Sistem ini membolehkan masa bukaan injap dan jumlah bukaan injap diubah mengikut keadaan operasi enjin, sekali gus meningkatkan kecekapan aliran udara, mengurangkan penggunaan bahan api serta membantu memastikan prestasi setiap silinder kekal konsisten.

Bagi menangani isu getaran kilasan pula, BMW menggunakan crankshaft yang lebih kukuh dihasilkan daripada teknik tempaan (forged) bersama harmonic damper yang direka khusus untuk menyerap getaran tersebut. Malah rekaan alas bebola besi juga direka dengan baik bagi mengatasi isu ini.
Di samping itu, penggunaan simulasi komputer ketika proses pembangunan membolehkan jurutera mengenal pasti dan mengurangkan masalah NVH (Noise, Vibration and Harshness) sebelum enjin dipasarkan. Jadi enjin B58 ini boleh ditala melebihi 385hp dan 500Nm tanpa masalah besar.
Kelemahan yang sering dikaitkan dengan enjin enam silinder sebaris sebenarnya lebih merujuk kepada cabaran dari sudut kejuruteraan awal ketika enjin ini mula diperkenalkan beberapa dekad dulu dan bukannya kelemahan mutlak reka bentuk itu sendiri.
Dengan bantuan teknologi moden seperti turbocharger, suntikan bahan api bertekanan tinggi, sistem kawalan injap pintar serta reka bentuk intake yang lebih canggih, enjin seperti BMW B58 berjaya membuktikan bahawa konfigurasi enam silinder sebaris masih relevan dan kekal sebagai antara pilihan terbaik untuk menawarkan gabungan prestasi tinggi, kehalusan operasi serta pengalaman pemanduan yang premium.



