
XIAOMI BUAT SUV HANTU, KELILING NURBURGRING TANPA MANUSIA
Xiaomi sekali lagi mencuri perhatian dunia automotif apabila SUV elektrik iaitu Xiaomi YU7 GT, berjaya melengkapkan satu pusingan penuh di litar Nürburgring Nordschleife secara autonomi tanpa sebarang pemandu di belakang stereng.
Pencapaian tersebut bukan sahaja menjadikan YU7 GT sebagai antara kenderaan autonomi paling canggih yang pernah diuji di litar ikonik Jerman itu, malah turut mencatat rekod dunia baharu bagi kategori kenderaan autonomi di Nürburgring.
Berdasarkan data yang didedahkan oleh Xiaomi, YU7 GT berjaya mencatat masa 10 minit 29.483 saat untuk melengkapkan satu pusingan di Nürburgring Nordschleife yang mempunyai panjang sekitar 20.8 kilometer.
Keseluruhan pusingan tersebut dilakukan tanpa sebarang campur tangan manusia, dengan sistem pemanduan autonomi Xiaomi mengawal sepenuhnya aspek pecutan, brek, stereng dan pemilihan garisan perlumbaan di sepanjang laluan yang terkenal dengan lebih 150 selekoh serta perubahan ketinggian yang ekstrem.

Tetapi turut menunjukkan bahawa teknologi pemanduan autonomi masih mempunyai jurang yang besar berbanding kemampuan pemandu manusia profesional. Sebagai perbandingan, SUV yang sama sebelum ini telah dipandu oleh pemandu ujian Ren Zhoucan berjaya mencatat masa 7 minit 34.931 saat di litar yang sama.
Ini bermakna sistem autonomi Xiaomi memerlukan hampir tiga minit tambahan untuk melengkapkan satu pusingan, dengan perbezaan masa mencecah 2 minit 54.552 saat berbanding pemanduan manusia. Video di dalam kenderaan yang dikongsikan turut menunjukkan bahawa sistem autonomi tersebut mengambil pendekatan yang jauh lebih konservatif berbanding seorang pemandu profesional.
Ketika memasuki selekoh berkelajuan tinggi, sistem AI dilihat membrek lebih awal, mengambil sudut selekoh yang lebih selamat serta mengurangkan risiko kehilangan cengkaman. Pendekatan ini membolehkan kereta mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi, namun pada masa sama mengorbankan kelajuan keseluruhan pusingan.
Strategi tersebut sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan kerana objektif utama ujian ini bukanlah untuk mencipta rekod masa terpantas, sebaliknya membuktikan keupayaan sistem Xiaomi Hyper Autonomous Driving (HAD) beroperasi dalam keadaan yang sangat mencabar.
Nürburgring sering dianggap sebagai salah satu litar paling sukar di dunia kerana gabungan selekoh teknikal, permukaan jalan yang tidak sekata, perubahan ketinggian yang mendadak dan kelajuan tinggi yang berterusan.

Jika sesebuah sistem autonomi mampu beroperasi dengan selamat di Nürburgring, ia memberikan keyakinan bahawa teknologi yang sama boleh berfungsi dengan lebih baik dalam situasi pemanduan harian di jalan raya awam.
SUV elektrik berprestasi tinggi tersebut dilengkapi dengan konfigurasi dwi-motor yang menghasilkan kuasa sekitar 990 hp, menjadikannya antara SUV elektrik paling berkuasa yang berada di pasaran ketika ini.
Kuasa yang besar itu membolehkan YU7 GT mencapai kelajuan maksimum hampir 300 km/j, sekali gus meletakkannya dalam kelompok yang sama dengan beberapa SUV prestasi tinggi dari Eropah. Malah sebelum ini, Xiaomi YU7 GT telah pun mencipta nama apabila berjaya menewaskan rekod SUV produksi terpantas Nürburgring yang sebelum ini dipegang oleh Audi RS Q8 Performance.
Pencapaian tersebut menunjukkan bahawa Xiaomi bukan sekadar serius dalam pembangunan teknologi pemanduan autonomi, malah turut memberi perhatian terhadap aspek prestasi dan kejuruteraan kenderaan berprestasi tinggi.
Walaupun masih belum mampu menandingi kelajuan pemandu manusia profesional, kejayaan melengkapkan Nürburgring tanpa pemandu membuktikan bahawa teknologi autonomi Xiaomi sedang berkembang dengan pantas.
Dengan masa 10 minit 29.483 saat dicatatkan tanpa campur tangan manusia, Xiaomi telah menunjukkan bahawa sistem kecerdasan buatan kini mampu mengendalikan salah satu litar paling mencabar di dunia secara bersendirian. Namun buat masa ini, rekod 7 minit 34.931 saat yang dicatatkan oleh manusia masih menjadi penanda aras yang sukar dicabar oleh teknologi autonomi








