SEBELUM AIRCOND WUJUD, TEKNOLOGI LAMA INI PERNAH JADI HARAPAN PEMANDU
Sebelum sistem penghawa dingin menjadi ciri biasa dalam kereta moden, pemandu terpaksa mencari pelbagai cara kreatif untuk menyejukkan kabin ketika cuaca panas.
Pada era awal automotif, isu utama sebenarnya bukanlah kepanasan, sebaliknya bagaimana mahu kekal hangat ketika memandu kerana kebanyakan kereta ketika itu hadir tanpa bumbung dan ruang kabin tertutup.
Model terawal seperti Ford Model T versi roadster dan touring dibina dalam konsep terbuka, malah ada yang tidak mempunyai pintu pemandu standard.
Ketika matahari terik, pemandu biasanya menggunakan payung sebagai perlindungan daripada cahaya panas. Pada masa sama, pakaian khas memandu juga menjadi keperluan termasuk topi, kot panjang, gogal, sarung tangan kulit serta jaket tebal untuk menghadapi hujan dan cuaca sejuk.

Namun keadaan berubah apabila Cadillac memperkenalkan prototaip Osceola pada tahun 1905, iaitu antara kereta pertama dengan badan tertutup sepenuhnya.
Menjelang dekad 1920-an, reka bentuk “closed car” mula menjadi kebiasaan dalam industri automotif. Ketika itulah pemilik kenderaan mula menyedari bahawa ruang dalaman kereta boleh menjadi terlalu panas ketika musim panas.
Bagi mengatasi masalah itu, pengeluar memperkenalkan tingkap boleh diturunkan dan liang udara di bawah papan pemuka untuk membenarkan angin luar masuk ke dalam kabin. Walaupun membantu, sistem tersebut turut membawa habuk, debunga, serangga dan kotoran masuk bersama aliran udara.
Pelbagai inovasi mula muncul bagi meningkatkan keselesaan. Pada tahun 1919, penutup tempat duduk Kool Kooshion diperkenalkan dengan rekaan spring khas yang membolehkan udara mengalir di bahagian belakang badan dan tempat duduk pemandu. Ia membantu mengurangkan rasa panas serta mempercepatkan penyejatan peluh ketika memandu.
Dua tahun kemudian, kipas elektrik kecil dikenali sebagai Knapp Limo-Sedan Fan mula dijual untuk dipasang dalam kereta. Walaupun tidak menghasilkan udara sejuk, ia membantu mewujudkan aliran angin lebih baik di dalam kabin.

Menariknya, konsep penggunaan kipas kecil dalam kenderaan masih digunakan hingga hari ini.
Sekitar tahun 1930-an pula, muncul satu lagi inovasi dikenali sebagai “car cooler”. Peranti berbentuk logam itu dipasang pada tingkap kereta dan menggunakan takungan air bersama pad basah untuk menghasilkan udara lebih sejuk melalui proses penyejatan. Angin yang masuk akan melalui pad lembap sebelum disalurkan ke dalam kabin.
Sistem itu mampu menurunkan suhu dalaman sehingga sekitar 15 hingga 20 darjah Fahrenheit, tetapi keberkesanannya bergantung kepada pergerakan kereta dan keadaan cuaca yang kering.
Dalam cuaca lembap, prestasinya jauh berkurangan. Takungan airnya juga perlu diisi semula dengan kerap terutama ketika perjalanan di kawasan panas dan gurun.
Perkembangan teknologi penghawa dingin moden bermula hasil ciptaan Willis Carrier pada tahun 1902 menerusi mesin kawalan kelembapan udara. Teknologi itu kemudian menjadi asas kepada sistem penghawa dingin moden yang bukan sahaja menyejukkan udara, malah mengawal tahap kelembapan.
Tidak lama selepas itu, General Motors mula membangunkan sistem penghawa dingin automotif menggunakan bahan penyejuk R12. Pada tahun 1939, Packard menjadi pengeluar pertama menawarkan penghawa dingin sebagai pilihan tambahan dalam kereta produksi.
Bagaimanapun, sistem tersebut masih jauh daripada praktikal. Unit penghawa dingin Packard dipasang di ruang bonet belakang dan mengambil hampir separuh ruang simpanan. Harga pilihan itu mencecah AS$274 ketika itu, bersamaan kira-kira AS$5,000 mengikut nilai semasa.
Selain besar dan mahal, pengguna juga perlu menanggalkan tali sawat pemampat secara manual untuk menghidupkan atau mematikannya. Sistem tersebut turut tidak mempunyai kawalan suhu seperti penghawa dingin moden.
Menjelang tahun 1954, Pontiac dan Nash mula memindahkan sistem penghawa dingin ke bahagian hadapan kereta serta menggabungkannya bersama sistem pemanas dalam papan pemuka. Kemajuan teknologi terus berkembang sehingga Cadillac memperkenalkan sistem kawalan suhu automatik pertama dikenali sebagai Comfort Control pada tahun 1964.
Lima tahun kemudian, AMC Ambassador mencipta sejarah apabila menjadi kereta pertama di dunia yang hadir dengan penghawa dingin sebagai ciri standard kilang.








