Buletin

BHPETROL RAI 27 PEMENANG PERADUAN ‘BELI DAN MENANG, MENCARI OKB’

Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) mengumumkan seramai 27 pelanggan bertuah dipilih sebagai pemenang dalam kempen ‘Peraduan Beli dan Menang, Mencari OKB’ menerusi Majlis Penyampaian Hadiah yang berlangsung di Menara Surian, Petaling Jaya.

Kempen yang berlangsung dari 1 Februari hingga 31 Mac 2026 itu melibatkan penyertaan pelanggan di stesen-stesen BHPetrol seluruh Semenanjung Malaysia.

Pelanggan yang merupakan ahli BHPetrol eCard dan membuat pembelian minimum RM20 dalam satu resit sama ada bagi bahan api atau barangan runcit layak menyertai peraduan secara automatik.

Sebanyak hadiah keseluruhan bernilai RM300,000 ditawarkan menerusi kempen berkenaan. Empat pemenang hadiah utama membawa pulang sebuah Proton Saga Executive bersama 200,000 ePoints, manakala empat lagi pemenang menerima motosikal Yamaha Ego Avantiz berserta 100,000 ePoints.

Selain itu, tiga pemenang hadiah ketiga menerima iPhone 17 Pro bersama 50,000 ePoints, sementara 16 pemenang mingguan masing-masing memenangi wang tunai RM2,500.

Senarai pemenang hadiah mingguan sebelum ini turut diumumkan menerusi laman web rasmi dan platform media sosial BHPetrol.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata, penganjuran peraduan tersebut merupakan antara usaha syarikat untuk menghargai sokongan pelanggan setia selain memperkukuhkan pengalaman pengguna di rangkaian stesen BHPetrol.

Menurut beliau, BHPetrol akan terus komited menawarkan produk berkualiti, perkhidmatan terbaik serta pengalaman pelanggan yang lebih selesa dan memuaskan.

“Penganjuran kempen seperti ini menjadi salah satu cara kami menghargai kesetiaan pelanggan, selain menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih BHPetrol sebagai stesen pilihan mereka,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pengusaha stesen dan rakan strategik yang membantu menjayakan kempen berkenaan.

Katanya, komitmen pengusaha stesen dalam memastikan mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik menjadi faktor penting dalam meningkatkan kepuasan pelanggan.

Peraduan ‘Beli dan Menang, Mencari OKB’ merupakan antara inisiatif BHPetrol dalam menawarkan nilai tambah kepada pelanggan sambil memperkukuhkan hubungan jangka panjang bersama komuniti pengguna di seluruh negara.

Google ads
Back to top button