Buletin

CHERY TIGGO 7 HEV DIUJI DI CHINA – JANA 349HP, SAH UNTUK PASARAN GLOBAL

Chery dilihat sedang membangunkan varian hibrid elektrik kendiri (HEV) bagi SUV kompak Tiggo 7 apabila model itu dikesan menjalani ujian di China baru-baru ini.

Menariknya, imej risikan yang tersebar memperlihatkan penggunaan lencana “Chery” dalam bahasa Inggeris bersama rekaan dalaman khusus untuk pasaran eksport, sekali gus memberi bayangan bahawa model tersebut bakal dipasarkan di luar China.

Di pasaran domestik China, model ini dikenali sebagai Tiggo 7 Plus dan ketika ini ditawarkan dalam versi enjin pembakaran dalaman (ICE), mild-hybrid 48V (MHEV) serta plug-in hybrid (PHEV).

Kehadiran versi HEV dijangka menjadi pilihan pertengahan buat pengguna yang mahukan teknologi elektrifikasi tanpa perlu mengecas bateri secara luaran.

Berbeza dengan sistem MHEV yang hanya membantu enjin ketika pecutan dan tidak mampu bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, sistem HEV membolehkan kenderaan dipandu dalam mod EV untuk jarak pendek, terutamanya dalam keadaan trafik perlahan dan pemanduan bandar. Tenaga bateri pula dijana semula menerusi enjin atau sistem brek regeneratif.

Tiggo 7 HEV dijangka menggunakan sistem hibrid “Kun Peng 2.0” milik Chery yang digandingkan dengan bateri 5.1kWh dan motor elektrik berkuasa sehingga 150kW.

Ia turut dipadankan bersama enjin turbo 1.5 liter, dengan jumlah kuasa keseluruhan dianggarkan mencecah 260kW atau sekitar 349hp.

Menurut Chery, sistem HEV baharu itu bukan sahaja menawarkan keupayaan pemanduan EV lebih lama, malah menyokong fungsi vehicle-to-load (V2L) berkuasa tinggi.

Teknologi itu membolehkan tenaga daripada bateri digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik luar, ciri yang lazimnya hanya tersedia pada EV dan PHEV.

Imej bahagian bawah casis turut memperlihatkan kedudukan pek bateri HEV yang ditempatkan di tengah lantai antara gandar depan dan belakang. Susun atur itu dikatakan mirip Tiggo 4 HEV generasi pertama, dengan sistem penyejukan udara untuk baterinya.

Dari segi rekaan luaran, Tiggo 7 HEV hampir tidak berbeza dengan varian ICE, MHEV dan PHEV sedia ada. Rekaan bampar, lampu serta kabin dikekalkan, manakala ketiadaan port pengecas menjadi petunjuk utama bahawa model ini ialah hibrid kendiri.

Untuk pasaran global, harga Tiggo 7 HEV dijangka berada di antara varian petrol biasa dan PHEV. Sebagai rujukan, Tiggo 7 petrol di Australia dijual bermula sekitar AUD29,990 (kira-kira RM86,200), manakala versi PHEV “Super Hybrid” bermula AUD34,990 (sekitar RM100,600) berdasarkan kadar tukaran semasa.

Di China, Tiggo 7 Plus versi PHEV kini dijual pada harga sekitar 129,900 hingga 149,900 yuan, menjadikannya antara SUV plug-in hybrid yang ditawarkan secara agresif dalam pasaran domestik negara itu.

Google ads
Back to top button