
AVETA VANGUARD 250 V2 – BUKAN SEKADAR TUKAR COVERSET
Segmen skuter maxi 250cc merupakan segmen yang cukup popular dikalangan pengguna di Malaysia jadi tak hairanlah setiap pengeluar terkejar-kejar menghasilkan sesuatu yang baru meskipun ada yang sekadar tukar warna dan grafik.
Namun, lain ceritanya bagi Aveta Vanguard 250 versi kedua yang diperkenalkan untuk pasaran tempatan awal tahun ini.

Ini kerana skuter maxi 250cc itu bukan sekadar tampil dengan warna baharu malah turut menerima pelbagai naik taraf dari sudut kelengkapan dan pakej elektronik.
Menariknya, kesemua naik taraf ini bukan dilakukan secara semberono sebaliknya Aveta mengambil maklum balas dari pengguna Aveta Vanguard versi pertama lalu membuat penambahbaikan yang sewajarnya dalam melahirkan Vanguard 250 V2 ini.

Pertamanya, Vanguard V2 ini tampil dengan skrin TFT 7-inci baharu dengan fungsi touchscreen. Fungsi touchscreen sahaja sudah cukup meletakkan Vanguard 250 V2 sebagai model yang paling canggih dalam kelasnya.
Tidak cukup dengan itu, turut ditawarkan adalah penghadang angin boleh laras secara elektronik dengan hanya menekan butang tersedia di bahagian handlebar.

Sebagai kemudahan, Aveta turut memperkenalkan switchgear baharu yang memudahkan akses kepada ABS dan Traction Control sekiranya mahu dipadamkan.
Lebih menarik, Aveta turut mempertingkat tahap keselesaan penunggang dan pembanceng dengan tempat duduk baharu yang lebih empuk dan selesa. Pembonceng juga menerima tempat letak kaki yang lebih lebar agar kesemua bahagian kaki dapat diletakkan secara selesa.

Dalam pada itu, ketika rata-rata skuter maxi memerlukan top box untuk mendapatkan ruang letak barang yang lebih luas, ruang letak barang dibawah tempat duduk Vanguard 250 V2 ini telah diperluas dan kini mampu memuatkan helmet bersaiz penuh.
Meskipun masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 244.2cc SOHC yang berupaya menjana 24.8hp dan 22.5Nm namun aliran kuasa (power delivery) kini lebih lancar.

Memandangkan tangki bahan api cukup besar dengan 13L, skuter ini mampu bergerak sejauh 300km dengan setiap isian penuh. Disebabkan akses mengisi minyak berada di luar (di antara tempat pemijak kaki) maka pengguna tidak perlu turun dari motosikal untuk mengisi minyak.
Sebagai skuter maxi dengan berat hanya 177kg, Vanguard 250 V2 ini mesra untuk pengguna lelaki dan wanita.

Bagi pasaran tempatan, Aveta Vanguard 250 V2 ini dijual dengan harga hanya RM16,688.
GALERI: AVETA VANGUARD 250 V2
























