Buletin

KUOTA SUBSIDI BUDI95 KEKAL 200 LITER SEBULAN, KERAJAAN PANTAU SITUASI ASIA BARAT

 Pengguna BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan terus menikmati kuota subsidi sebanyak 200 liter sebulan buat masa ini, sementara kerajaan memantau perkembangan situasi di Asia Barat dan kesannya terhadap harga minyak global sebelum mempertimbangkan sebarang perubahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, masih terlalu awal untuk kerajaan membuat keputusan berhubung kemungkinan mengembalikan kuota subsidi kepada 300 liter.

Beliau menjelaskan bahawa pasaran minyak dunia memerlukan masa untuk menilai keberkesanan dan implikasi daripada perjanjian gencatan senjata sementara yang dimeterai baru-baru ini.

“Saya rasa kalau kita tengok perkembangannya baru lagi, mengenai gencatan senjata sementara yang baharu dimeterai pada Jumaat lepas.

“Ini akan mengambil masa 60 hari untuk mereka (Amerika Syarikat dan Iran) terus berbincang. Jadi, kita kena tunggu dan lihat sama ada ini boleh kekal dan implikasi keseluruhannya,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk sentiasa memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi daripada sebarang kejutan atau kesan kenaikan harga minyak di peringkat global. – Berita RTM

Google ads
Back to top button