
INI RAHSIA KENAPA PESAWAT PENGINTIP BLACKBIRD SR-71 DIBERSARAKAN
Selepas tamatnya perang dunia kedua, blok kuasa besar terbahagi kepada 2 iaitu pro komunis dan juga pro barat yang meletakkan demokrasi sebagai asas pentadbiran. Kedua-dua blok ini kemudian berperang dalam satu fasa dikenali sebagai Cold War, bukan melalui perang secara terbuka tetapi perang melalui sekutu, diplomatik, propaganda dan pengintipan
Dengan keadaan geopolitik dan teknologi yang terhad, maka cara paling sesuai pada ketika itu bagi mengintip aktiviti ketenteraan, kekuatan pihak musuh dan pengakalan tentera yang berada jauh dari sempadan, maka kapal terbang altitud tinggi diperkenalkan
Dikenali dengan nama Lockheed U-2, kapal terbang pengintip ini diperkenalkan pada tahun 1956 dan masih lagi digunakan dengan meluas pada hari ini oleh pihak Amerika. Dengan dikuasakan oleh satu enjin General Electric J73, Lockheed U-2 mampu terbang pada ketinggian 70,000 kaki atau 21,300 meter
Fungsi pesawat ini adalah sebagai pusat pengumpulan maklumat dan intipan dengan menggunakan kamera resolusi tinggi mampu mengambil gambar pada ketinggian 10,000 meter, sensor bagi mengumpul isyarat, serta radar dan boleh terbang dalam apa jua keadaan cuaca
Namun sebuah Lockheed U-2 yang diterbangkan oleh Gary Powers ditembak jatuh, selepas USSR membangunkan misil yang mampu menembak sasaran pada ketinggian 25,000 meter. Kejadian ini menyebabkan pihak Amerika membangunkan sebuah lagi pesawat pengintip Lockheed SR-71 yang boleh terbang lebih laju
Berbeza dengan pesawat U-2, Blackbird SR-71 mampu terbang sehingga 3.2 March (3.2 kali laju daripada bunyi) atau 3,540km/jam. Sama seperti U-2, pesawat ini membawa perkakasan pengintipan tetapi dikuasakan dengan 2 unit enjin Pratt & Whitney J58 yang menjana tujahan sehingga 145kN
Selain diberikan sistem anti misil, enjin ini mampu membuatkan Blackbird SR-71 daripada ditembak dan dikejar oleh pihak musuh. Sepanjang operasinya daripada 1964 sehingga ke tahun 1999, tiada satupun pesawat ini berjaya ditembak oleh misil. Namun pesawat ini telah dibersarakan manakala pesawat U-2 masih lagi terbang sehingga ke hari ini
Salah satu sebab Blackbird SR-71 dihentikan tugas ialah kos operasi yang terlalu tinggi dan kompleks, termasuk kos baik-pulih, penyelenggaraan, memerlukan ramai staf sokongan untuk terbang, perlatan yang banyak dan bahan api yang toksid.
SR-71 tidak boleh berlepas dengan minyak penuh, pesawat ini memerlukan pengisian semula di udara dengan sokongan pesawat KC-135 beberapa kali sepanjang tempoh penerbangan. Malah disebabkan perlu terbang terlalu laju di udara, pesawat ini direka agar mengembang ketika ia bergeser dengan udara.
Proses pengembangan ini menyebabkan semua kedapan termasuk bahan api tertutup, namun tangki bahan pesawat ini akan “bocor” ketika mendarat selepas badan pesawat kembali sejuk. Pihak Rusia juga telah membangunkan misil yang lebih tinggi, laju dan digabungkan dengan radar yang lebih canggih bagi mengesan SR-71 menjadikan penerbangannya lebih berisiko
Sistem pengumpulan data dan maklumat juga terhad selain bergantung kepada isyarat radio dan kamera analog menjadikannya kurang berkesan berbanding dengan teknologi satelit masa kini yang lebih canggih
Berbeza dengan SR-71, pesawat Lockheed U-2 kekal digunakan kerana ia lebih murah untuk dioperasikan, diselenggara, memerlukan staf sokongan yang sedikit, boleh berlepas dengan bahan api penuh dalam tangki dan proses isian semula di udara yang lebih sedikit.
Selain itu, bahan api yang digunakan adalah sama seperti bahan api penerbangan biasa yang lain, mudah untuk disimpan dan dioperasikan. Pesawat U-2 juga telah menerima naiktaraf kamera, sensor moden, radar, antena dan juga sistem komputer
Ia mampu mengumpul data, imej digital, isyarat elektronik dan melakukan pelbagai misi secara serentak seperti pengawasan, intipan, kajian, pembangunan dan komunikasi. Keadaan ini menyebabkan U-2 kekal dalam servis sehingga hari ini.
Malah berbanding dengan satelit, pesawat U-2 boleh dioperasikan dalam notis yang singkat, misi penerbangan boleh diubah dengan pantas dan boleh terbang berulang kali dalam sela masa yang singkat.