
PORSCHE 911 TURBO S : DARI TURBO MEKANIKAL KE HIBRID
Dalam dunia kereta sports, Porsche 911 Turbo S selalu menjadi penanda aras. Dari zaman Porsche 930 Turbo yang digelar “widowmaker” sampailah generasi moden 992, nama Turbo S memang sinonim dengan kelajuan tanpa kompromi.
Tahun 2025, menyaksikan Porsche membawa masuk versi baharu 911 Turbo S yang bukan sekadar facelift, tapi satu revolusi Porsche 911 Turbo S sekarang menggunakan sistem hibrid berprestasi tinggi (T-Hybrid), jauh lebih baik berbanding dengan model sebelumnya.
Jadi apa perbezaaan antara model baru dan lama?
Pertama Kuasa telah meningkat daripada 641 hp ke 701 hp. Model lama, 911 Turbo S 992.1 dikuasakan oleh enjin boxer 6 silinder 3.745 liter turbo berkembar yang menjana 641 hp dan 800 Nm. Turbo yang digunakan adalah turbo mekanikal dengan sistem Variable Turbine Geometry (VTG), teknologi yang hampir hapuskan turbo lag.

Dari segi prestasi pecutan 0–100 km/h dalam 2.7 saat dan halaju tertinggi pula ialah 330 km/h. Laju gila untuk kereta yang masih ada tempat duduk belakang. Memasuki generasi baru, 992.2 Turbo S T-Hybrid (2026), Porsche menaikkan kuasa sistem hibrid kepada 701 hp dan 800 Nm. Walaupun output tork sama, graf kuasa lebih rata dan respons jauh lebih tajam.
Kredit kepada sistem hibrid pintar yang terdiri daripada enjin boxer 6 silinder 3.6 liter turbo baharu dan dipadankan dengan dua unit turbo dipacu dengan motor elektrik dan motor elektrik kecil yang duduk antara enjin dengan gearbox PDK 8-speed.
Motor elektrik ini pula biarpun ini hanya beri sekitar 41 hp dan 150 Nm, tapi cukup untuk mengisi kekosongan tork semasa rpm rendah. E-turbo pula menghilangkan turbo lag sepenuhnya, seolah-olah kereta sentiasa “on-boost”.

Kereta baharu memang lebih berat sekitar 80 kg (hasil bateri 1.9 kWh dan motor elektrik), tapi angka prestasi 992.2 Turbo S T-Hybrid buat kita geleng kepala. 0–60 mph kini hanya 2.4 saat (0.3 saat lebih pantas), 0–200 km/h hanya 8.4 saat (lebih cepat 0.5 saat daripada model lama).
Malah di Nürburgring Nordschleife, 911 Turbo S T-Hybrid mencatatkan masa 7:03.92, lebih pantas 14 saat berbanding rekod model lama. Untuk kereta supercar harian yang ada 2+2 seat dan boleh pergi pasaraya, ini adalah tahap yang luar biasa.
Menariknya, walaupun lebih berkuasa, halaju maksima turun sedikit dari 330 km/h (992.1) ke 322 km/h (992.2). Bezanya kecil, tapi jelas menunjukkan Porsche fokus pada pecutan dan dinamik pengendalian, bukan angka kelajuan atas kertas. Lagi pun, berapa ramai pemilik Turbo S berani redah 330 km/h di Autobahn?

Dari segi platform, Porsche mengekalkan struktur Double Wishbone aluminium pada roda depan manakala roda belakang menggunakan rekaan Multi-Link yang juga dihasilkan daripada aluminium bagi mengurangkan berat
Bezanya kali ini ialah, sistem PASM (Porsche Active Suspension Management) kini dikuasakan oleh rangkaian elektrik 400V daripada sistem hibrid. Respons sistem suspensi adalah jauh lebih cepat, memberikan pengendalian lebih tajam, dan boleh beradaptasi dengan berat tambahan di bahagian belakang akibat motor & bateri.
Bukan itu sahaja Rear-axle steering juga diberi julat operasi yang lebih luas, menjadikan Porsche 911 Turbo S baru lebih lincah di selekoh kecil, tapi kekal stabil macam kereta GT apabila laju di highway.
Inilah sebab utama kewujudan sistem T-Hybrid. Model lama Porsche 992.1 Turbo S hanya lulus piawaian Euro 6d-ISC-FCM (Euro 6d Final) sahaja. Itu standard ketat pada awal tahun 2020-an, tapi apabila Euro 7 diumum untuk 2025/26, enjin 3.7L lama sudah tidak mampu melepasi standard Euro 7

Model baru dengan hibrid kecil kali ini berjaya mencapai kelulusan Euro 7, terutama semasa dihidupkan pada waktu sejuk dan dipandu santai di lebuh raya. Jadi bukan saja lebih laju, tapi juga lebih “hijau” sekurang-kurangnya atas kertas.
Pemandu 992.1 mungkin suka rasa mekanikalnya terutama dengan sistem turbo konvensional VGT, bunyi enjin lebih kasar, dan penghantaran kuasa yang lebih organik. Tapi di dunia moden, model 992.2 T-Hybrid bagi pengalaman hampir sempurna, tiada turbo lag, tork sentiasa penuh, dan kereta rasa lebih mendakap dengan permukaan jalan.



