Artikel Pilihan

SECRETARY CAR – DARI SINDIRAN KE IKON RETRO

Dalam landskap automotif Jepun era 1980-an hingga awal 2000-an, terdapat sebuah istilah tidak rasmi yang sering muncul dalam perbualan peminat kereta – “secretary car”. Walaupun ia tidak pernah wujud sebagai kategori rasmi dalam katalog pengeluar, istilah ini menjadi sebahagian daripada budaya automotif Jepun, lahir daripada gabungan faktor sosial, ekonomi, dan gaya hidup.

“Secretary car” merujuk kepada kereta-kereta kecil, bergaya, mudah dipandu, dan lebih mengutamakan aspek praktikal serta penampilan berbanding prestasi ekstrem. Nama ini tercetus kerana kereta sebegini sering dikaitkan dengan office lady iaitu wanita muda Jepun yang bekerja di syarikat besar, biasanya sebagai setiausaha atau kakitangan pejabat.

Asal Usul & Latar Belakang

Era 1980-an dikenali sebagai “bubble economy” Jepun, di mana pertumbuhan ekonomi yang pesat melahirkan budaya konsumerisme baharu menjadikan golongan muda khususnya wanita bandar, mempunyai kuasa beli yang semakin besar. Mereka mencari kenderaan yang bukan sahaja berfungsi sebagai alat pengangkutan, tetapi juga melambangkan gaya hidup.

Dalam konteks ini, pengeluar Jepun mula menghasilkan model coupe kecil, roadster ringan, atau hatchback bergaya yang mudah dikendalikan di bandar, senang diparkir di kawasan padat seperti Shinjuku atau Shibuya, dan memiliki rekabentuk yang menarik. Prestasi enjin tidak menjadi keutamaan tapi sebaliknya faktor imej, gaya, dan faktor harga adalah lebih penting.

Ciri-ciri “Secretary Car”

Walaupun istilah ini bersifat slang, terdapat beberapa ciri yang sering dikaitkan dengan “secretary car”:

  • Saiz kompak – mudah dipandu dalam kesesakan kota.
  • Rekabentuk comel atau chic – menonjolkan elemen gaya hidup berbanding agresif.
  • Kuasa sederhana – cukup untuk kegunaan harian, tetapi bukan kereta lumba.
  • Affordability – mampu milik bagi golongan muda bekerja.
  • Fokus pada lifestyle – convertible, targa roof, atau bentuk unik lebih dipentingkan daripada angka kelajuan.

Namun begitu, konotasi istilah ini tidak selalu positif. Dalam kalangan peminat automotif lelaki, “secretary car” sering dijadikan sindiran kerana dianggap tidak cukup “serius” atau “macho” sebagai kereta sports. Walaupun begitu, sejarah membuktikan bahawa banyak model yang pernah diejek ini akhirnya mendapat status “cult”.

10 Model JDM yang Sering Dicap “Secretary Car”

1. Mazda MX-5 / Eunos Roadster (NA & NB)

Dilancarkan pada 1989, MX-5 menjadi ikon global roadster moden. Ringan, pacuan roda belakang, dan convertible, menjadikannya segera popular di kalangan wanita muda Jepun. Namun, kerana kuasa enjin 1.6L dan 1.8L dianggap kecil, ramai menggelarnya kereta “awek pejabat”. Ironinya, hari ini ia diiktiraf sebagai salah satu sports car terbaik dan terlaris di dunia.

2. Honda CR-X del Sol

Coupe kecil dengan bumbung targa, diperkenalkan pada antara tahun 1992 ke 1998. Dikenali dengan rekabentuk sporty tetapi lebih bergaya berbanding Civic Type R, ia disasarkan untuk pengguna muda urban. Salah satu ciri yang unik ialah bumbung targa top yang direka untuk menggantikan bumbung biasa. Seperti biasa ia dikuasakan dengan enjin 1.5/1.6 diikuti pilihan 1.6 VTEC pacuan roda depan

3. Toyota Sera

Diperkenalkan pada 1990, Toyota Sera terkenal dengan pintu gullwing unik, sesuatu yang jarang ditemui pada kereta kompak tapi dijuampai pada supercar. Walaupun spesifikasi enjin sederhana (1.5L dengan 110hp & 138Nm), ia menjadi simbol chic di kalangan wanita Jepun disebabkan rekaan pintu unik, dan bumbung kaca ala-ala jet pejuang F-16

4. Toyota Cynos / Paseo

Coupe berasaskan platform Tercel dan Starlet tapi dengan gayaan Celica. Dengan enjin 1.3L hingga 1.5L (85-110hp), ia ringan (800kg) dan mudah dipandu, menjadikannya pilihan popular untuk pembeli pertama. Malah ia dianggap sebagai sebab model ini membawa gaya coupe sporty pada platform kecil & bajet

5. Suzuki Cappuccino

Sebuah kei car roadster dengan enjin turbo 660cc (63hp), pacuan roda belakang namun dibina dengan format kereta sport. Walaupun kecil, ia menawarkan keseronokan memandu yang luar biasa. Rekabentuk comel membuatkannya sering dikaitkan dengan kategori ini. Ia direka dengan bumbung targa top, T-bar atau full convertible

6. Daihatsu Copen (Generasi Pertama)

Dilancarkan pada awal 2000-an, Copen mengekalkan semangat kei convertible (enjin 660cc turbo 63hp) dengan design bulat-bulat. Bagi pasaran eropah ia menggunakan enjin 1.3L K3-VE yang menjana 87hp. Walaupun convertible, ia sebenarnya kereta dengan format FF dengan bumbung hardtop tapi berat sekitar 850kg sahaja

7. Nissan March Cabriolet

Ia adalah varian daripada March (Micra) yang diberi sentuhan lebih elegan dengan bumbung convertible yang direka oleh syarikat Karmann. Namun atapnya menggunakan softop tapi hanya diberikan enjin 1000cc atau 1500cc sahaja. Ia tidak dieksport keluar Jepun dan hanya dikeluarkan dalam ribuan unit sahaja

8. Honda Beat

Mid-engine kei roadster dengan enjin 660cc yang mampu rev tinggi. Walaupun konfigurasinya unik, saiznya yang kecil membuatkannya masuk dalam kategori “secretary car”, namun Beat pula lebih kepada fun lifestyle car yang relax, open-top, tapi tetap ada jiwa Honda. Tapi ia adalah pacuan roda belakang dengan enjin duduk di belakang (MR) walaupun enjin 660ccMTREC (Multi Throttle Responsive Engine Control) yang menjana 64hp sahaja

9. Mitsubishi Minica Dangan ZZ

Kei sporty dengan teknologi canggih untuk zamannya, tetapi tetap dipasarkan sebagai kereta kompak bergaya 3 pintu dengan semangat perlumabaan. Ia menggunakan enjin 657cc 3-silinder DOHC, 15-valve, turbocharged bagi menghasilkan 64hp tapi sebenarnya sudah cukup sebab beratnya hanyalah 700kg sahaja

10. Toyota MR-S (ZZW30)

Generasi ketiga MR2 (1999–2007) turut dikenali dengan nama MR2 Spyder, dengan rekabentuk bulat dan friendly. Walaupun datang dengan konfigurasi MR, ia sering dianggap sebagai “Miata versi Toyota” kerana ringan, menyeronokkan, tetapi bukan hardcore. Enjin 1.8 menjana 137hp dan 171Nm cukup untuk MR2 dengan berat kurang 1000kg dengan bumbung rekaan softop

Dari Sindiran ke Kultus

Menariknya, kereta-kereta ini yang dahulu sering diperlekeh kini menjadi rebutan peminat dan pengumpu. Beberapa faktor utama menjelaskan fenomena ini seperti:

  1. Lincah – menawarkan pengalaman memandu yang menyeronokkan, walaupun tanpa kuasa besar.
  2. Unik – banyak model mempunyai identiti kuat contohnya pintu gullwing Toyota Sera
  3. Nilai nostalgia – generasi muda era 80–90an kini mencari semula kereta zaman remaja mereka.
  4. Asli – kerana tidak disalahgunakan sebagai kereta lumba, banyak unit “secretary car” masih wujud dalam keadaan asal.

Kesimpulan

“Secretary car” dalam konteks JDM adalah cerminan budaya bagaimana faktor ekonomi, sosial, dan gaya hidup membentuk jenis kenderaan yang dihasilkan. Walaupun pada mulanya digunakan sebagai sindiran, kereta-kereta ini akhirnya membuktikan nilai mereka seperti ringan, praktikal, bergaya, dan menyeronokkan.

Mereka mungkin tidak mempunyai kuasa setara Supra atau Skyline, tetapi dalam aspek warisan dan identiti, “secretary car” telah menempah tempat istimewa dalam sejarah JDM. Apa yang dulu dianggap kecil dan comel, kini dilihat sebagai klasik yang bernilai.

Google ads
Back to top button