Artikel Pilihan

BMW M5 2021 TAMPIL DENGAN IMEJ LEBIH MODEN – TANPA GRIL KELAKAR 4-SERIES, SYUKUR

Baru bulan lepas BMW perkenalkan model 5-Series facelift untuk pasaran 2021 dan kini tanpa membuang masa mereka terus memperkenalkan M5 2021. Sedan berprestasi tinggi paling terkenal ini kini dilengkapi dengan gril baru yang lebih besar supaya lebih agresif.

Syukurlah gril ini tidak sebesar ataupun selucu gril pada 4-Series baharu. Bahagian bumper hadapan dan belakang juga turut direka semula agar kelihatan lebih agresif.

Ruang kemasukan udara yang lebih besar ditempatkan pada bahagian kiri dan kanan bumper manakala lampu utama LED yang lebih kurus menyerlahkan ciri moden pada M5 baharu ini. Bumper dilengkapkan dengan diffuser dan lampu belakang bentuk L menaikkan lagi seri pada bahagian belakang.

M5 Competition mempunyai kemasan hitam yang lebih elegan pada bahagian gril, luaran cermin sisi, spoiler belakang, emblem dan pada bahagian bumper belakang. Pilihan warna baharu untuk M5 2021 ini ialah Brands Hatch Grey Metallic, Motegi Red Metallic dan Tanzanite Blue II Metallic.

Sama seperti BMW 5-Series standard, M5 turut menerima unit paparan digital bersaiz 12.3 inci lengkap dengan fungsi sesentuh selain mempunyai sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Tempat duduk yang dibalut dengan kulit Merino ditawarkan dalam warna Silvertstone, Aragon Brown ataupun hitam. Kemasan dalaman juga boleh dipilih tanpa sebarang kos tambahan. Maklumlah harga kereta ini pun sudah cukup premium kan?

M5 baharu ini dikuasakan enjin 4.4L V8 twin-turbo yang mampu menghasilkan 600 hp kuasa dan 750 Nm tork. M5 Competition sedikit sedikit lebh berkuasa dengan 613 hp tapi tork masih sama. Dengan kata lain jumlah kuasa masih sama dengan model sebelumnya.

M5 mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat manakala M5 Competition 3.1 saat. Tapi kena ingat kedua-dua model ini mempunyai kelajuan yang dihadkan pada 250 km/j dan jika anda memilih M Drivers Package ia dinaikkan kepada 305 km/j.

Kuasanya disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik 8-kelajuan dan sistem pacuan-semua-roda tetapi ia lebih bias kepada bahagian belakang. Sistem xDrive ini membolehkan pemandu menukar mod kepada RWD jika terasa nak buat power slide di lebuh raya Karak.

M5 standard menggunakan rim 19 inci manakala M5 Competition seinci lebih besar. Kenalah ada beza kan?

Google ads
Back to top button