Buletin

BMW MALAYSIA LANCAR M135i xDrive. 306HP, RM356K SEUNIT

BMW Malaysia baru-baru ini melancarkan BMW M135i xDrive yang juga dikenali sebagai ‘The 1’. Ia merupakan jentera flagship dalam keluarga BMW 1 Series generasi ketiga.

BMW M135i xDrive ditawarkan pada harga RM355,646 seunit. Menerusi ‘Balloon Financing Plan’ yang ditawarkan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, jentera itu boleh dimiliki dengan bayaran RM4,058 sebulan (anggaran pinjaman 80% untuk tempoh lima tahun).

Model hatchback premium itu tampil dengan gril kidney yang besar berwarna kelabu dan disatukan buat pertama kalinya. Ia kemudian diapit oleh sepasang lampu utama LED adaptif.

Rongga udara di hadapan dan sisi, pelitup cermin sisi, dan paip ekzos 100 milimeter dalam warna Cerium Grey menonjolkan statusnya sebagai model perdananya.

Model kompak itu kemudian dipasang dengan rim aloi ringan 19 inci dalam V 557 M dua tona. Di bahagian belakang, lampu tiga dimensi yang mengandungi dua bahagian menyerlahkan bentuk L BMW. Ia juga dilengkapi spoiler belakang BMW M.

Hatchback itu dikuasakan oleh enjin empat silinder TwinPower Turbo M Performance berkapasiti 2.0 liter. Ia mampu menjana uasa mencecah 306hp dan tork 450Nm, sebelum disalurkan melalui sistem pacuan semua roda.

BMW M135i xDrive hanya memerlukan 4.8 saat untuk membuat pecutan 0-100km/j dan boleh mencatat kelajuan tertinggi 250km/j.

Model kompak itu dilengkapi suspensi M Sport dan brek M Sport berprestasi tinggi. Sementara ciri ‘Active Sound Design’ berfungsi menguatkan bunyi sebenar enjin dan mengeluarkan profil bunyi yang lebih sporty.

Kokpit BMW M135i xDrive hadir dengan kemasan ‘Illuminated Boston’ serta upholsteri kulit Dakota. Elemen-elemen M juga menghiasi tempat duduk, tali pinggang keledar dan stereng.

Sistem bunyi Harman Kardon dengan 16 pembesar suara menawarkan hiburan tanpa henti setiap kali jentera ini dipandu.

BMW Live Cockpit Professional menampilkan Sistem Operasi BMW 7.0 dengan Paparan Instrumen 10.25 inci, selain skrin sentuh 10.25 inci beresolusi tinggi.

Jentera itu juga dilengkapi sistem kunci digital BMW, Apple CarPlay, kemaskini perisian jarak jauh dan pembantu peribadi pintar BMW.

BMW M135i xDrive didatangkan dalam warna putih, hitam, biru, kelabu atau merah. Anda boleh memilih upholsteri kulit Dakota berwarna hitam tau merah.

Hatchback idaman ramai ini bakal berada di semua pengedar sah BMW di seluruh negara pada 28 Julai 2020. Pelanggan juga boleh menempah ‘The 1’ di http://www.shop.bmw.com.my/ dengan hanya RM1,000 dan berpeluang untuk memenangi BMW i8 Coupé.

GALERI

Google ads
Back to top button