
JPJ PULAU PINANG SITA SEBUAH BAS EKSPRES DAN LORI – PEMANDU TIADA LESEN, DIBAWAH UMUR
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pulau Pinang baru-baru ini menyita sebuah bas ekspres dan sebuah lori kontena dalam operasi khas yang diadakan malam semalam.
Bas ekspres disita selepas pemandunya didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala lori kontena berkenaan pula dipandu oleh individu bawah umur.
Operasi yang dinamakan Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perkhidmatan Barangan (KPB) ini berlangsung dari jam 10.00 malam hingga 7.00 pagi di beberapa lokasi strategik seperti Plaza Tol Juru (arah utara dan selatan), Tol Bukit Tambun, dan Plaza Tol Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Tujuan utama operasi ini adalah untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan yang melanggar undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam operasi ini, sejumlah 25 bas ekspres dan bas persiaran dikenakan saman kerana tidak menyediakan pemandu kedua, terutamanya bagi perjalanan melebihi 300 kilometer atau tempoh lebih daripada empat jam berterusan.
Selain itu, 23 bas didapati gagal mengemaskini buku log pemandu, manakala satu kes membabitkan ketiadaan pemandu pelancong turut dikesan.
Secara keseluruhan, sebanyak 273 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk pelanggaran teknikal.
Antara kesalahan utama yang dikenalpasti adalah berkaitan kegagalan mematuhi aspek keselamatan dan dokumentasi.
Sehubungan itu,JPJ Pulau Pinang mengingatkan semua pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya yang berkuatkuasa.
Mereka juga diingatkan agar memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sesuai untuk digunakan di jalan raya. – Facebook
- BACA: ENJIN DAN TRANSMISI BAHARU UNTUK MODEL AC COBRA GT & AC COBRA GT COUPE
- BACA: VIRAL VIDEO KEMALANGAN DI MEDIA SOSIAL: BAIK ATAU BURUK?
- BACA: FIREFLY HATCHBACK DIPERKENALKAN, HARGA SEKITAR RM89K – GAYA COMEL TAPI MENAKUTKAN?
- BACA: CATL PERKENALKAN CASIS BEDROCK BAHARU – TAHAN IMPAK 120KM/J, TANPA TERBAKAR

